Memperkasa TVET Malaysia melalui peranan MyRIVET

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menekankan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini seharusnya memberi fokus kepada hala tuju pekerjaan dan amalan industri. Fokus tersebut adalah...

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menekankan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini seharusnya memberi fokus kepada hala tuju pekerjaan dan amalan industri. Fokus tersebut adalah bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten melalui penekanan terhadap komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan industri. Fokus yang dijelaskan oleh KPM tersebut adalah selari dengan garis panduan daripada Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang memberi keutamaan kepada pendidikan, latihan dan kemahiran berkaitan dengan bidang pekerjaan secara meluas, pengeluaran, perkhidmatan dan penghidupan. Malahan TVET dilihat sebagai sebahagian daripada elemen sistem pembelajaran sepanjang hayat yang meliputi pembelajaran berasaskan pekerjaan, latihan berterusan dan pembangunan profesional menuju kepada suatu tingkat kelayakan.

Di Malaysia, Amalan baik dalam pelaksanaan program TVET, dikenali sebagai Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA). Sistem ini telah dibangunkan secara bersama oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan pakar-pakar TVET.  Kandungan COPTPA tersebut antara lainnya meliputi skop program dan keperluan khusus program TVET serta menyenaraikan tujuh bidang penilaian iaitu pembangunan dan penyampaian program, penilaian pelajar, pemilihan dan khidmat sokongan pelajar, staf pengajar, sumber pendidikan, pengurusan program, pemantauan, semakan dan penambahbaikan kualiti berterusan program.

Dokumen COPTPA tersebut disarankan menjadi rujukan kepada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang melibatkan beberapa pihak berkepentingan seperti penyedia program TVET, penggubal dasar, dan panel penilai serta pegawai MQA dan JPK. Malahan proses jaminan kualiti yang konsisten dan teratur berpandukan COPTPA diharap dapat menghasilkan graduan TVET yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. Sumber tenaga berkemahiran tinggi merupakan keperluan utama Malaysia pada hari ini. Apatah lagi, Keberhasilan Ekonomi Utama Negara (NKEA) 2020 telah menetapkan dua belas sasaran industri yang memerlukan sumber tenaga utama iaitu: Minyak, Gas dan Tenaga, Minyak Sawit, Perkhidmatan Kewangan, Pelancongan, Perkhidmatan Perniagaan, Pelancongan, Elektronik dan Elektrikal, Borong dan Runcit, Pendidikan, Kesihatan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pertanian dan Greater Kuala Lumpur. Sasaran NKEA 2020 tersebut perlu dicapai untuk memastikan kestabilan ekonomi yang cemerlang dapat dicapai.

Inisiatif memperkasakan program TVET di Malaysia dapat dilihat menerusi komitmen kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). Dalam RMK10, telah dinyatakan 72 buah sekolah vokasional dan lapan sekolah teknik dinaiktaraf menjadi kolej vokasional. Manakala lapan buah kolej vokasional baru juga turut dibina. Dalam RMK-11 pula, dana RM4.6 bilion diperuntukkan kepada semua institusi kemahiran teknik dan vokasional bagi memperkasakan pendidikan dan seterusnya membantu memantapkan sektor industri negara. Ini termasuklah pengubahsuaian sembilan kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) menjadi politeknik dan kolej vokasional. Dalam penyediaan RMK- 12 pula, kumpulan fokus TVET berpendapat bahawa latihan praktikal/industri yang bertempat di premis industri adalah amat penting dan dilihat lebih berhasil berbanding dengan latihan sekadar di institusi latihan sahaja.

 

Penubuhan MyRIVET

MyRIVET adalah satu-satunya institusi penyelidikan TVET bersifat bebas di peringkat nasional yang bertanggungjawab dalam penyelidikan, perundingan, latihan dan khidmat nasihat. Sebagai institusi profesional, MyRIVET banyak menjalankan aktiviti penyelidikan seperti pengumpulan, analisis, penilaian dan pengurusan data; perundingan yang melibatkan polisi dan dasar yang berasaskan penyelidikan bersama serta perkongsian hasil penyelidikan; dan latihan serta pembangunan modal insan dalam bidang TVET. Ini memberikan faedah untuk kedua-dua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di Malaysia. MyRIVET juga berfungsi sebagai platform utama dalam meluaskan rangkaian dan kerjasama antarabangsa.

Visi utama MyRIVET adalah untuk menjadi sebuah institusi penyelidikan bebas yang bereputasi baik dalam mengembangkan bakat dinamis melalui pengembangan intelektual dan pelaksanaan TVET berdasarkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang holistik. Misi MyRIVET pula adalah untuk mengarusperdana dan memperkasakan sistem TVET melalui penyelidikan, pendidikan, perundingan, latihan dan kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk pembangunan bakat yang dinamik.

Terdapat banyak penyedia TVET di Malaysia yang melibatkan beberapa kementerian, kerajaan negeri dan sektor swasta. Implikasi kepada pelbagai kementerian dan agensi yang melaksanakan agenda TVET negara menyebabkan perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan TVET menjadi kurang berkesan sehingga menjejaskan kualiti TVET di Malaysia. Kebanyakan data dan maklumat TVET tidak dapat diakses dengan mudah, serta merta dan tepat. Oleh itu, negara sangat memerlukan sebuah institusi yang komprehensif yang dapat memberikan kepakaran dan penyebaran maklumat mengenai TVET. MyRIVET sebagai pusat rujukan TVET berfungsi sebagai pusat repositori yang menyelaraskan semua maklumat mengenai agensi TVET di Malaysia. Terdapat agensi penyelidikan yang lain yang menjalankan aktiviti penyelidikan mengenai pasaran buruh. Walau bagaimanapun, penyelidikan mereka kurang memberi tumpuan kepada TVET. Sehingga kini, Malaysia tidak mempunyai institusi penyelidikan khusus yang memfokuskan kepada keperluan TVET. MyRIVET dapat memberikan maklumat terkini mengenai TVET dan keperluan industri tempatan.

Objektif penubuhan MyRIVET adalah untuk memberi maklumat mengenai TVET sebagai pusat rujukan penyelidikan nasional untuk memenuhi keperluan industri dan pembangunan nasional. Ia juga berfungsi dalam melakukan penyelidikan untuk kepentingan pihak-pihak yang terlibat dalam menyusun dan memperkuat polisi TVET mengikut keperluan industri. MyRIVET dilihat mampu untuk menyediakan platform bagi menjalin hubungan dan kolaborasi dengan industri, badan profesional dan agensi untuk pengukuhan latihan, kemahiran dan pengiktirafan pekerjaan di peringkat nasional dan antarabangsa serta berfungsi sebagai pusat rujukan yang bertanggungjawab untuk pengumpulan, analisis, penilaian dan pengurusan data.

 

Bidang fokus yang perlu diberi tumpuan bagi menyatukan pelbagai agensi TVET di Malaysia

Matlamat utama MyRIVET adalah untuk membantu negara dalam menyatukan sistem TVET negara melalui capaian polisi sedia ada, penstrukturan governan serta pengurusan tunggal yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi TVET. Empat strategi utama yang telah dikenal pasti oleh MyRIVET adalah dengan berfungsi sebagai badan bebas khas untuk mengkoordinasi agenda TVET Malaysia. Kedua adalah dengan membangunkan polisi berkaitan ekosistem TVET yang lebih menyeluruh dan sistematik seperti Dasar TVET Negara. Ketiga adalah dengan membangunkan platform digital perkongsian data. TVET akan mempunyai data raya sendiri, instrumen pengesanan graduan yang lebih efektif, dan instrumen sistem penarafan tunggal yang lebih sistematik. Keempat adalah memperluas akses dan ekuiti pendidikan termasuklah latihan dan program berkaitan pembangunan dan keusahawanan yang sepatutnya dianjurkan dengan lebih meluas.

 

Apakah implikasi pelaksanaan?

Pelaksanaan tadbir urus berpusat TVET dilihat akan memberikan implikasi yang sangat positif kepada komponen pengurusan berikut:

  1. Governan Model governan dan tadbir urus yang lestari akan menjadikan TVET Malaysia lebih efektif dan efisien. Ia memberi kesan kepada penyelarasan dalam penjajaran penawaran program, pembukaan dan penutupan Institusi.
  2. Industri akan wujud kerjasama yang erat dan harmoni melalui perkongsian pakar/tenaga pengajar dari industri dapat diperluaskan kepada semua penyedia TVET. Keperluan kemahiran tenaga kerja terkini mengikut kehendak industri (demand and supply) akan lebih mudah dikenalpasti.
  3. Kualiti – dasar dan proses jaminan kualiti program TVET akan menjadi lebih efisien dan mampan. Melalui pemerkasaan kualiti penilaian, akses, standard tenaga pengajar, infrastruktur dan kualiti standard industri.
  4. Dana pembiayaan – Kaedah pengagihan terbaik bagi peruntukan kepada penyedia latihan TVET boleh dilaksanakan dengan lebih adil. Model pembiayaan yang lebih harmoni dapat dilaksanakan mengikut program TVET.
  5. Penjenamaan – TVET perlukan imej baru yang dapat memberikan keyakinan kepada rakyat dalam penerimaan bidang tersebut.

Kesimpulannya fungsi MyRIVET perlu diangkat sebagai pusat rujukan nasional dalam membantu mengawal selia pelaksanaan sistem TVET di Malaysia. Usaha mentransformasikan urus tadbir TVET secara tunggal adalah satu inisiatif yang sangat signifikan dalam memastikan kualiti dan kelestarian program TVET dan seterusnya mengangkat imej TVET sebagai mercu tanda kebanggaan laluan perdana dalam sistem.

 

 

Artikel ditulis oleh:

Profesor Madya Ts. Dr Razali Hassan

Profesor Madya Dr. Noor Azah Samsudin

Ts. Dr. Affero Ismail

Kumpulan penyelidik

Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET)

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

 

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE