Pusat Penyelidikan Pemanduan Bijak (SDRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui pasukan KidSafe telah menyumbang papan tanda keselamatan jalan raya kepada enam sekolah terpilih sekitar daerah Batu Pahat bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat.

Menurut ketua pasukannya, Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani dari Fakulti kejuruteraan Awam dan Alam Bina, papan tanda ini disumbangkan kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bingan, SK Pintas Puding, SK Pintas Raya, SK Bukit Soga dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Aminah.

Tambah beliau, sumbangan ini merupakan lanjutan kepada program ‘Buku keselamatan Jalan Raya Untuk Pelajar Sekolah’ yang dilancarkan pada Februari lalu dan diedarkan ke sekolah-sekolah sekitar daerah Batu Pahat.

“SDRC sekali lagi bekerjasama dengan pihak Parlimen Seri Gading, Transportion Science Society of Malaysia (TSSM) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat bagi menghasilkan papan tanda khusus untuk memberi peringatan dan tip berkaitan keselamatan jalan raya,” katanya.

Menurut beliau lagi, papan tanda yang direka bentuk oleh Dr. Basil David Daniel ini disumbangkan dengan harapan kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Bagi merealisasikan budaya selamat di atas jalan raya, pihak kami juga ingin mengajak orang ramai untuk bekerjasama dengan pasukan KidSafe UTHM dalam menyampaikan peringatan kepada rakyat Malaysia secara berterusan berkaitan keselamatan jalan raya ini,” katanya.