Pasukan Penyelidik FKEE bangunkan sistem ‘sayaHadir’ bantu guru sekolah

Pasukan sukarelawan daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya membangunkan sistem kehadiran luar talian yang diberi nama ‘sayaHadir’ bagi membantu urusan...

Pasukan sukarelawan daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya membangunkan sistem kehadiran luar talian yang diberi nama ‘sayaHadir’ bagi membantu urusan guru-guru di sekolah merekodkan kehadiran pelajar berserta suhu menggunakan teknologi QR code.

Penghasilan sistem ini yang diketuai oleh Dr. Nor Hafizah Ngajikin berkemampuan untuk menyimpan data pelajar tanpa jaringan internet dan amat sesuai untuk digunakan di sekolah-sekolah luar bandar yang tiada capaian internet atau capaian internet yang tidak stabil. Penyelidik yang terlibat dalam pembangunan dan ujilari sistem ini ialah Dr. Herdawatie Abdul Kadir (Koordinator), Dr. Siti Hajar Aminah Ali (Pembangunan Aplikasi), Zarina Tukiran (Pembangunan Pangkalan Data), Profesor Madya Dr. Siti Zarina Muji (Pengkomersilan Sistem), Dr. Marlia Morsin (Dokumentasi) dan Munirah Ab Rahman (Rekabentuk Sistem).

Sebagai permulaan, pasukan yang dinaungi oleh Profesor Madya Dr. Rosli Omar, Dekan FKEE dan diketuai oleh Dr. Herdawatie, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FKEE bersama IEEE Oceanic Engineering, IEEE Robotics and Automation Society dan Advanced Mechatronics Research Group (ADMIRE) telah menganjurkan satu program berbentuk Corporate Social Responsibility (CSR) yang melibatkan warga Sekolah Rendah Islam Hidayah (SIH) yang terletak di Jalan Olak Batu, Ayer Hitam, Johor.

Ujilari sistem ini telah dijalankan di sekolah terbabit bertujuan membantu guru-guru mendidik para pelajar sekolah berkenaan norma baharu persekolahan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut Dr. Herdawatie, penggunaan sistem kehadiran luar talian ini disambut baik oleh pihak sekolah dan mendapat maklum balas yang positif daripada guru-guru di sekolah terbabit.

“Dengan kejayaan perlaksanaan sistem sayaHadir versi 1.0 di SIH, pihak kami selaku penyelidik amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak lain juga pada masa akan datang dan berharap sumbangan kepakaran ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.

Categories
covid-19Kejuruteraan Elektrik dan ElektronikSosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE