Pandemik Covid-19 yang masih lagi mengganas di dunia dan negara ini sesungguhnya telah membuka mata para pendidik dan memaksa semua untuk lebih responsif kepada keperluan pelajar di sekolah mahupun universiti. Pendidik wajar mengambil peluang menggunakan teknologi pembuatan revolusi industri 4.0 terkini yang membawa aplikasi realiti maya seperti Virtual Reality (VR), Augmented reality (AR) dan video 360 darjah yang lebih imersif, interaktif serta memberi pendedahan kepada ilmu dan kemahiran 24 jam sehari.

Sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu, ianya merupakan ujian kepada keberkesanan teori connectivism yang dikatakan sebagai teori pembelajaran era digital, keupayaan para pendidik dan pelajar dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui amalan cybergogi. Ia juga adalah ujian kepada keberkesanan aktiviti PdP atas talian. Para pendidik diuji dengan keupayaan memasang strategi PdP untuk mencetuskan minat pelajar dalam penerokaan lebih jauh ke topik tertentu, juga diuji dengan keupayaan para pendidik menggunakan mekanik permainan untuk memotivasi, melibatkan diri dan membuat pelajar bertanggungjawab untuk mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan.

Manakala pelajar pula diuji dengan keupayaan memanfaatkan sifat pelajar abad ke-21 yang dilengkapkan dengan teknologi, sambil menganjurkan tindakan, penggunaan dan tujuan teknologi yang sesuai. Pendekatan cybergogi sepatutnya mampu meningkatkan motivasi pelajar, meningkatkan kadar pengekalan yang lebih lama dan mengurangkan beban kognitif mereka. Melalui pendekatan cybergogi, pembelajaran segerak, pembelajaran tidak segerak dan secara luar talian boleh berlaku pada bila-bila masa. Cybergogi menawarkan lebih daripada satu saluran dan boleh dipelbagaikan mengikut keperluan pelajar dan kesediaan semua pihak yang terbabit.

Amalan cybergogi telah lama dipraktikkan di institusi pengajian tinggi kerana ia melibatkan pelajar pasca siswazah yang mengamalkan pendekatan heutagogi dalam pembelajaran disamping amalan pedagogi dan andragogi. Namun amalan cybergogi agak sukar untuk dilaksanakan di peringkat pendidikan rendah kerana motivasi pelajar untuk belajar sendiri masih terlalu rendah dan memerlukan iringan dan bimbingan yang menyeluruh dan terpandu dalam PdP. Amalan pedagogi adalah sesuai di peringkat pra-tadika, sekolah rendah dan andragogi di sekolah menengah. Oleh yang demikian kerjasama daripada ibu bapa yang tinggi amat diperlukan untuk meneruskan amalan cybergogi dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Tanpa kerjasama ibu bapa, akan berlaku keadaan pelajar yang ketinggalan, tidak mengikuti pembelajaran disediakan tanpa guru dapat berbuat apa-apa, sekali gus merugikan pelajar itu sendiri. Seeloknya ibu bapa membantu memotivasikan anak dengan membantu menjelaskan latihan diberi, kerana ia adalah aktiviti pembelajaran yang dapat membantu mereka untuk lebih memahami pelajaran.

Penulis berpendapat bahawa amalan cybergogi kurang sesuai diamalkan sepenuhnya oleh pelajar diperingkat rendah dan menengah yang mana mereka masih memerlukan bimbingan dan iringan serta motivasi yang tinggi dari seorang guru dalam suasana pembelajaran secara bersemuka. Minat dan motivasi pelajar peringkat rendah menurun untuk terus mengikut PdP kerana kesan daripada mereka terasing daripada suasana persekolahan untuk tempoh yang panjang. Walaupun teori connectivism dibangunkan hasil daripada perbincangan dan kritikan terdapat teori-teori pembelajaran yang lain seperti teori behaviorism, teori humanism, teori cognitivism dan teori constructivism, namun ianya masih lagi perlu diterima pakai dalam pembentukan tingkah laku yang sempurna di awal usia pembelajaran melalui teori behaviorism, pembentukan keyakinan yang tinggi hasil daripada pencungkilan bakat dan peneguhan tingkah laku menerusi ganjaran atau denda yang ditekankan dalam teori humanism.

Berdasarkan kepada pengalaman penulis sendiri yang mempunyai anak-anak berusia 15, 13 dan lapan tahun, walaupun telah disediakan kemudahan gajet setiap seorang, guru juga telah menyediakan pelbagai bahan pembelajaran atas talian dan video konferen mengikut keselesaan anak-anak. Namun faktor suasana yang terlalu ‘selesa’ menyebabkan anak-anak tiada inisiatif untuk belajar sendiri. Mereka lebih kepada aktiviti menonton video hiburan di saluran Youtube, bermain permainan atas talian seperti PUBG atau Mobile Legend, serta melayari laman media sosial seperti Instagram dan Facebook.

Penulis sendiri perlu bertindak memantau aktiviti pembelajaran atas talian mereka, motivasi untuk melakukan kerja-kerja sekolah yang disediakan perlu dijana daripada penulis sendiri dan bukan datang daripada kehendak anak-anak. Pembentukan tingkah laku dan peningkatan motivasi untuk belajar sendiri harus bermula di awal usia dengan penerapan teori behaviorism yang baik, keyakinan diri anak-anak untuk terus menuntut ilmu harus ditekankan menerusi teori humanism dengan memperkenalkan kaedah peneguhan, ganjaran dan denda supaya anak-anak tahu dan faham yang mana salah dan yang betul dalam tindak tanduk mereka. Nilai hidup yang dibentuk melalui teori behaviorism dan teori humanism akan menentukan keberkesanan secara holistik terhadap amalan cybergogi. Ini merupakan cabaran dan ujian dalam amalan cybergogi dalam sistem pendidikan abad ke-21.

Penulis tidak menolak teori connectivism dan amalan cybergogi dalam pendidikan seiring dengan harapan dan usaha negara untuk membangun dan kini semakin hampir kepada taraf negara maju yang mana semua pendidik Malaysia perlu berani berubah, mesra teknologi dan membuka minda dengan memahami teori pembelajaran connectivism secara mendalam, kreatif dan inovatif memperkasakan pendekatan cybergogi dalam pendidikan abad ke-21 supaya aktiviti PdP berjaya dilaksanakan secara berkesan dan berjaya menghasilkan modal insan seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan rakyat yang seimbang dari segala aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Di pihak ibu bapa pula, mereka harus berperanan untuk menyokong dan memahami teori dan kaedah pembelajaran yang seimbang agar pelaksanaan PdP alaf baru dapat dicapai. Ironinya, kita semua dapat melihat hikmah di sebalik pandemik COVID-19 dalam aspek pendidikan yang mana ianya memerlukan kerjasama daripada semua pihak dalam menangani wabak itu sendiri dan meneruskan kelangsungan hidup. Teori pembelajaran dan kaedah pengajaran diuji demi untuk melihat keberkesanan sistem pendidikan abad ke-21.

 

Anim Zalina Azizan

Pensyarah

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM