MERSING – Pusat Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-sumber Semula jadi (SUNR), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Madya Ts Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat, pemindahan Ilmu dan STEM di Kampung Peta, Endau, Mersing pada 22 Julai lalu.

Program tersebut dilaksanakan di Kampung Peta yang terletak di kawasan Taman Negara Johor Endau Rompin, yang merupakan lokasi penempatan bagi suku kaum masyarakat Jakun.

Menurut Dr. Fadzelly, sebelum ini penyelidik-penyelidik UTHM mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan penduduk kampung terbabit terutama dalam menjalankan aktiviti penyelidikan seperti persampelan flora dan fauna serta temu bual mengenai pengetahuan tradisional.

Jelas beliau lagi, oleh kerana sebahagian penduduk di kampung tersebut bekerja sebagai kakitangan Taman Negara dan juga pemandu pelancong, makanya mereka sering membantu penyelidik ketika melakukan kajian di sana.

“Sebagai tanda penghargaan, UTHM melaksanakan program khidmat masyarakat bersama penduduk kampung khususnya warga Sekolah Rendah Kampung Peta (SRKP) dan Tabika Kemas Jheoa.

“Ketika sekolah dibuka semula setelah hampir tiga bulan ditutup akibat pandemik COVID-19, keperluan tambahan murid-murid seperti hand sanitizer, pelitup hidung dan mulut serta pakaian sekolah amat diperlukan.

“Justeru itu, warga COR-SUNR yang terdiri daripada staf akademik dan bukan akademik, juga pelajar pasca siswazah telah berganding bahu mengumpul dana dan mencari tajaan barangan bagi memenuhi keperluan murid-murid di kampung terbabit,” katanya.

Dalam menjayakan misi ini, warga UTHM juga turut memberi sumbangan sebagai tanda keprihatinan mereka. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Dekan Fakulti FAST, Profesor Dr. Hashim Saim dan juga Ketua Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, FAST Profesor Madya Dr. Alona Cuevas Linatoc kepada wakil SRKP dan Tabika Kemas Jheoa.

Turut diadakan, aktiviti pemindahan ilmu dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang diketuai oleh Dr. Siti Fatimah Sabran dan Ts Dr. Faridah Kormin.

Dengan bertemakan ‘Oh My Nature,’ Dr. Siti Fatimah bersama kumpulannya melaksanakan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan seperti mewarna dengan menggunakan pewarna semulajadi khusus untuk pelajar tabika dan pelajar tahap satu. Aktiviti ini bertujuan menyebarkan ilmu pengetahuan tentang kepentingan menjaga kepelbagaian biologi bagi meningkatkan penghargaan kepada alam sekitar. Selain itu, mereka turut diajar kaedah yang betul untuk mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan hand sanitizer.

Sementara itu, kumpulan Dr. Faridah pula menjalankan aktiviti interaktif bagi meningkatkan minat pelajar dalam STEM. Tiga aktiviti menarik yang bertemakan keselamatan makanan telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh masa yang terhad. Aktiviti seperti sesi kesedaran keselamatan makanan berkaitan telur dan permainan seperti ‘Drop Ball,’ ‘Pop Egg’ dan ‘Egg Density’ dijalankan mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Apabila pelaksanaan program khidmat masyarakat ini mendapatkan maklum balas yang positif daripada penduduk kampung, pihak kami amat berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.