Hari Biodiversiti Sedunia 2020 – kemusnahan biodiversiti pencetus pandemik

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tarikh 22 Mei pada setiap tahun sebagai tarikh kita mengingati dan menghargai kepentingan biodiversiti dalam kehidupan seharian. Bertemakan Our Solutions are in Nature...

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tarikh 22 Mei pada setiap tahun sebagai tarikh kita mengingati dan menghargai kepentingan biodiversiti dalam kehidupan seharian. Bertemakan Our Solutions are in Nature (penyelesaian kita ada di alam semulajadi), sambutan Hari Biodiversiti Sedunia bagi tahun 2020 ternyata berbeza kerana disambut di dalam krisis pandemik yang amat menggusarkan. Ini kerana ketika seluruh dunia sedang berjuang habis-habisan menentang virus COVID-19, tema ini secara tidak langsung memberi harapan dan jawapan kepada masyarakat dunia akan kepentingan menjaga alam sekitar dan melindungi sumber biodiversiti kita.

Biodiversiti ialah kepelbagaian organisma yang ada di sekitar kita termasuk flora, fauna dan mikroorganisma. Semua haiwan, tumbuhan, serangga, mikroorganisma dan kulat yang dijumpai di daratan, pergunungan, sumber air tawar dan lautan merupakan sebahagian daripada komponen biodiversiti kita. Malahan, kebanyakan kita mengetahui bahawa Malaysia telah dinobatkan sebagai negara ke-12 terkaya dengan biodiversiti di peringkat dunia berdasarkan Indeks Biodiversiti Kebangsaan. Selain daripada kepelbagaian spesis, kepelbagaian ekosistem dan sumber genetik turut menyumbang kepada kekayaan biodiversiti di negara kita. Hal ini kerana Malaysia mempunyai hutan hujan tropika yang sememangnya dikenali dengan kekayaan sumber semula jadi dan hidupan liar seiring dengan negara tropika lain seperti Indonesia, Brazil, Uganda dan Colombia.

Pada tahun 2019, Global Forest Watch melaporkan Malaysia telah kehilangan sebanyak 120,000 hektar hutan primer, yang meletakkan negara kita di tangga keenam tertinggi di dunia. Pada skala makro, hampir satu pertiga daripada kawasan hutan di Asia Tenggara telah ditebang sejak empat dekad yang lepas menurut laporan tersebut. Lebih membimbangkan lagi, konflik antara haiwan dan manusia semakin meningkat dari hari ke hari. Salah satu punca konflik itu meningkat adalah disebabkan kehilangan kawasan hutan dan ia dikaitkan dengan penularan penyakit zoonotik, iaitu penyakit yang boleh merebak daripada haiwan ke manusia.

Walaupun punca sebenar virus Covid-19 masih belum dipastikan secara tepat, kesan penularan virus zoonotik seperti ini adalah antara yang paling berbahaya kepada manusia termasuk haiwan. Faktor lain seperti kehilangan habitat melalui penebangan hutan dan eksploitasi hidupan liar secara langsung telah menyumbang kepada kemunculan virus seumpamanya. Ini kerana hidupan liar yang kehilangan habitat terpaksa mencari habitat baharu yang lazimnya lebih berdekatan dengan populasi manusia. Akibat daripada perbauran yang rancak antara manusia dan hidupan liar di dalam habitat yang sama, tidak mustahil penularan virus zoonotik kepada manusia dalam keadaan tiba-tiba. Justeru itu, masih belum terlambat untuk kita sedar bahawa manusia mempunyai nilai kebergantungan yang sangat tinggi terhadap alam sekitar. Alam sekitar dan hutan yang sihat dan berkualiti secara langsung akan menjamin kesihatan manusia secara keseluruhannya. Jika kita terus bersikap ‘acuh tak acuh,’ tidak mustahil pandemik ini hanyalah permulaan untuk krisis global yang lebih besar.

Tahun 2020 juga merupakan tahun akhir bagi Aichi Biodiversity Target 2011 – 2020. Tidak lama lagi kita akan dapat melihat sama ada pencapaian komuniti dunia dalam memenuhi Pelan Strategik Biodiversiti 2011–2020 berada pada tahap memuaskan atau tidak. Selain itu, masih belum terlambat untuk kita menguar-uarkan Polisi Biodiversiti Kebangsaan 2016–2025 dengan harapan menjelang tahun 2025, kita berjaya mencapai semua matlamat yang digariskan dalam polisi tersebut.

Kekayaan sumber semula jadi dan genetik yang pelbagai pastinya membuka ruang dan peluang bagi kita untuk mencari kunci penyelesaian krisis yang kita hadapi sekarang. Kehidupan seharian ketika ini telah banyak dimudahkan hasil daripada pengetahuan, pengolahan dan aplikasi penggunaan hasil genetik daripada alam sekitar. Hal ini turut bertepatan dengan seruan hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda, mafhumnya:

 “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar” (Riwayat al-Bukhari, 5678).

Maka tidak mustahil penawar bagi wabak yang sedang kita hadapi sekarang wujud di sebalik rimba Maliau Basin di Sabah atau di Hutan Royal Belum, Perak, dengan syarat kajian dan pembangunan (R&D) berdasarkan sumber biodiversiti perlu dilipatgandakan. Justeru itu, kita hendaklah menggembleng tenaga dan menunjukkan kesepaduan usaha dengan pelbagai pihak dalam usaha memperjuangkan pemuliharaan dan penggunaan mapan sumber semula jadi di Malaysia.

Atas tujuan mempromosikan hasil kajian berkaitan dengan biodiversiti, Pusat Penyelidikan Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semulajadi (COR-SUNR), UTHM akan menganjurkan International Conference on Biodiversity (ICB2020). Persidangan maya ini akan mengumpulkan penyelidik dari dalam dan luar negara untuk berkongsi hasil kajian mereka yang terkini. Bagi yang berminat untuk turut serta, anda boleh layari laman sesawang https://icbuthm2020.wixsite.com/icb2020 untuk maklumat lanjut.

 

 

Dr. Aqilah Awg Abdul Rahman

Pusat Penyelidikan Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber – Sumber Semulajadi

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM

 

 

 

*imej ehsan Google

 

Categories
covid-19E-WacanaRencanaSains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE