Oleh Ts. Mohd Zairil Zainal

Batu Pahat –   Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Syarikat Aruba (Hewlett Packard Enterprise Company) bekerjasama membangunkan program Aruba HealthCare Connectivity Bundles (HCB) COVID-19 di Stesen Kuarantin Kolej Kediaman Perwira UTHM bagi melancarkan beberapa aplikasi atas talian untuk membantu menyelesaikan isu COVID-19 yang sedang melanda negara.

Untuk merealisasikan program ini, syarikat Aruba  telah memberi sumbangan berbentuk peralatan rangkaian bernilai RM88 ribu bagi menyediakan infrastruktur rangkaian dan akses internet secara segera (rapid) di Stesen-stesen Kuarantin COVID 19 serta tempat-tempat lain yang telah diwartakan oleh kerajaan sebagai Bilik Operasi atau Gerakan COVID-19.

Pelaksanaan program ini melibatkan 12 orang tenaga pakar dari PTM dan mereka berjaya menyiapkan kerja-kerja pemasangan dan konfigurasi alatan dalam tempoh masa yang ditetapkan, bermula 20 hingga 30 April lalu sehingga boleh digunakan dan manfaatnya dinikmati oleh pengguna.

Menurut Ts. Mohd Zairil Zainal, program ini bertujuan untuk memberi kemudahan pengaksesan internet dan WiFi kepada petugas barisan hadapan (frontliners) seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pusat Kesihatan Universiti dan Pejabat Keselamatan yang bertugas.

“Dengan adanya kemudahan ini, petugas barisan hadapan dapat melaporkan data dan maklumat secara pantas dan konsisten sehingga mampu memberikan impak yang besar kepada kerajaan dalam usaha mencegah penularan virus COVID-19,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua pihak perlu saling berganding bahu dalam usaha menyelesaikan isu COVID-19. Justeru itu, pewartaan “Stesen Kuarantin COVID-19 Kolej Kediaman Perwira” oleh kerajaan ini merupakan sumbangan UTHM bagi membantu negara mencapai matlamat yang diharapkan.