10 Jun 2020 merupakan permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Malaysia dalam usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk mencapai matlamat memutuskan rantaian COVID-19 di seluruh negara. Dengan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan bermulanya PKPP, maka kelonggaran yang lebih telah dan sedang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada pengusaha-pengusaha industri pelancongan tempatan bagi memacu kembali ekonomi negara yang telah terkesan akibat penularan COVID-19. Walaupun pelancong-pelancong dari luar negara masih tidak dibenarkan memasuki Malaysia, berkemungkinan berlaku kebanjiran para pelancong tempatan di lokasi-lokasi pelancongan termasuklah kawasan-kawasan pesisiran pantai dan laut.
Secara sedar atau tidak sedar, terdapat dua sambutan penting pada 2 hari terakhir PKPB di Malaysia, iaitu sambutan Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun 2020 diikuti sambutan Hari Segitiga Terumbu Karang pada 9 Jun 2020 iaitu sehari sebelum PKPP bermula. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan perayaan Hari Lautan Sedunia adalah pada 8 Jun setiap tahun. Banyak negara telah menyambut hari istimewa ini sejak tahun 1992 berikutan Persidangan PBB mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan yang telah diadakan di Rio de Janeiro, Brazil. Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun 2008, Perhimpunan Agung PBB memutuskan bahawa bermula tahun 2009, 8 Jun akan ditetapkan oleh PBB sebagai Hari Lautan Sedunia atau World Oceans Day. Manakala hari Segitiga Terumbu Karang atau Coral Triangle Day pada Tarikh 9 Jun adalah perayaan besar khasnya buat para penghuni zon Coral Triangle atau Segitiga Terumbu Karang yang merupakan pusat kepelbagaian biologi laut dunia, yang merangkumi lautan enam negara di wilayah Asia Pasifik iaitu Indonesia, Papua New Guinea, Filipina , Kepulauan Solomon, Timor Leste dan juga negara kita Malaysia yang merupakan salah satu negara megadiversity di dunia.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah keperluan untuk menetapkan tarikh 8 Jun sebagai Hari Lautan Sedunia dan 9 Jun pula sebagai Hari Segitiga Terumbu Karang? Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh setiap individu untuk merayakan dan menjayakan sambutan tahunan tersebut? Setiap 8 Jun, kita mempunyai kesempatan untuk meningkatkan kesedaran global mengenai manfaat yang diperoleh manusia daripada lautan melalui pelbagai aktiviti tetapi tidak terhad kepada membersihkan pantai, makan malam dan pameran makanan laut yang mampan, bazaar dan pesta pantai, antara lain – semua membawa pesanan pemuliharaan lautan di bawah panji Perairan Bersama, Penyelesaian Bersama; serta peranan perseorangan dan kolektif kita untuk menggunakan sumber-sumber lautan secara lestari, seterusnya melindungi dan memulihara Segitiga Terumbu Karang. Bukankah generasi masa hadapan juga akan bergantung pada lautan untuk mencari rezeki, termasuklah untuk mendapatkan sumber makanan dan juga sumber pendapatan melalui industri pelancongan?
Lautan Kita adalah Masa Depan Kita. Melalui tema Hari Lautan Sedunia bagi tahun 2020 ini iaitu Inovasi Untuk Kelestarian Lautan dan tema Hari Segitiga Terumbu Karang iaitu Sayangi Terumbu Karang, marilah kita sebagai warga negara Malaysia bersama-sama pihak akuarium, pusat sains dan institusi penyelidikan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan kerajaan di seluruh dunia menggerakkan usaha untuk meningkatkan kesedaran berjuta-juta individu di sekeliling kita tentang pentingnya lautan dalam kehidupan manusia.
Ts. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Kredit foto : Jabatan Alam Sekitar Malaysia