Penularan jangkitan wabak Covid-19 telah menjadi masalah besar kepada isu kesihatan di seluruh dunia. Tanggal 13 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan bahawa wabak ini adalah sebagai pandemik. Virus ini menyebabkan sindrom pernafasan akut yang teruk dan dalam keadaan yang lebih serius ia boleh menyebabkan kematian. Sehingga Jun ini, lebih daripada tujuh juta penduduk seluruh dunia telah dijangkiti virus Covid-19 dan jumlah kematian melebihi 400,000 orang. Negara Malaysia tidak terlepas dari krisis penularan wabak tersebut yang mana lebih daripada 8000 orang telah dijangkiti dan jumlah kematiannya melebihi 100 orang.

Rentetan itu, negara-negara di seluruh dunia telah mengambil langkah drastik bagi mengekang penularan wabak ini. Antara langkah-langkah yang telah diambil termasuk kebersihan diri, penjarakan sosial, penutupan sempadan, pengawalan pergerakan dan penutupan aktiviti ekonomi yang terpilih. Justeru itu, banyak sektor-sektor penting dalam negara telah terjejas dengan langkah-langkah negara dalam mengekang penularan wabak ini. Antara sektor-sektor yang terjejas adalah pendidikan, perniagaan, pelancongan dan tidak ketinggalan sektor kesihatan.

Perkara penting yang dititikberatkan dalam sektor kesihatan adalah pembekalan air dan sanitasi. Berdasarkan laporan WHO pada masa ini, Covid-19 belum lagi dikesan di dalam bekalan air minuman sama ada daripada sumber air permukaan dan air bawah tanah dan begitu juga dalam air kumbahan. Risiko kehadiran virus tersebut adalah rendah sama ada dalam bekalan air dan kumbahan. Walau bagaimanapun, pertubuhan tersebut telah menggariskan beberapa garis panduan kepada masyarakat dunia tentang pembekalan air dan sanitasi yang lebih selamat dan penjagaan kesihatan yang relevan dengan virus, termasuk Covid-19.

Antara garis panduan yang dikeluarkan oleh pertubuhan tersebut ialah kerap mencuci tangan dengan sabun dan bekalan air yang terjamin bersih dan selamat.  Sekiranya sumber bekalan air dari loji rawatan air dan bekalan air paip yang selamat tidak diperoleh daripada operator bekalan awam yang berwajib, maka bekalan air yang diperoleh oleh isi rumah tersebut haruslah mempunyai teknologi rawatan berkesan dalam menghilangkan atau membunuh virus. Menurut laporan WHO juga mengesyorkan setiap rumah atau premis perlu menggunakan ultrafiltrasi berprestasi tinggi atau penapis nano membran, solar penyinaran, penyinaran ultra ungu dan klorin dengan dos yang tepat. Setidak-tidaknya bekalan air tersebut hendaklah dimasak sehingga suhu mendidih sebelum digunakan sepertimana disarankan oleh pertubuhan tersebut.

Di Semenanjung Malaysia, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, penggunaan bekalan air awam di negeri Kelantan masih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Pada tahun 2013, jumlah penduduk yang menggunakan bekalan air awam ialah 1,086,840 orang, iaitu sekitar 65% (1,666,000 orang) daripada penduduk di negeri Kelantan. Laporan ini juga merangkumi isi rumah yang menggunakan dua sumber bekalan air iaitu dari sumber bekalan air awam dan juga sumber bekalan air alternatif seperti air bawah tanah dan sistem air graviti. Selebihnya 35 peratus lagi penduduk Kelantan hanya bergantung pada sumber bekalan air alternatif iaitu air bawah tanah dan sistem air graviti terutama di kawasan luar bandar. Keadaan ini bertambah tidak sihat apabila sistem sanitasi yang dibina tidak sempurna yang mana terdapat air kumbahan boleh memasuki sistem air bawah tanah yang menjadi bekalan air domestik.

Kekurangan air yang dirawat dengan selamat dan sistem sanitasi yang tidak sempurna boleh menyebabkan kesan buruk terhadap kesejahteraan dan pembangunan kesihatan manusia yang sihat. Oleh itu wajar para pengguna terutamanya yang menggunakan bekalan air secara individu tanpa proses rawatan perlu mengambil langkah-langkah yang disarankan oleh WHO bagi membendung penularan wabak penyakit yang berpunca daripada bawaan air. Banyak faedah bersama akan dapat dicapai dengan mengurus perkhidmatan air dan sanitasi dengan selamat dan menerapkan amalan kebersihan yang baik. Usaha sedemikian akan mencegah penularan banyak penyakit berjangkit lain, yang boleh menyebabkan berjuta-juta kematian setiap tahun.

 

 

 

Dr. Mohamad Faizal Tajul Baharuddin (P.Geol)

Penyelidik Utama, Pusat Kajian Tanah Lembut, Institut Integrasi Kejuruteraan, UTHM

Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan