Batu Pahat – Pasukan Mendayung Barracuda Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendekati keperluan khidmat sains sukan dengan menjalinkan kerjasama dengan penyelidik Sport Innovation Technology Centre (SITC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mendapatkan kepakaran dalam program biomekanik sukan bagi mempertingkatkan lagi prestasi semasa pasukan UTHM kearah kejohanan Varsity Boat Race (VBR) pada awal November nanti.

Menurut penyelidik SITC UTM, Fakri Azmi Nasruddin pihaknya amat berminat dan mengalu- alukan kerjasama dalam program biomekanik sukan ini bersama pasukan mendayung UTHM setelah pasukan ini menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam kejohanan sukan mendayung Malaysia.

“Program Biomekanik Sukan Mendayung ini merupakan platform yang baik bagi pasukan mendayung UTHM dalam menganalisis prestasi kemampuan individu atlet mendayung melalui pengambilan data biomekanik atlet,” katanya.

Tambahnya lagi, program ini juga akan mengesan tahap fizikal serta meningkatkan kekuatan fizikal untuk pendayung UTHM.

“Program ini secara spesifiknya adalah untuk mengukur tahap keupayaan atlet dari segi keberkesanan teknik kemahiran mendayung dan kekuatan fizikal atlet dan berdasarkan data yang diperolehi jurulatih pasukan dapat merangka periodisasi latihan yang lebih terperinci kepada atlet mereka”, jelasnya.

Turut hadir semasa program Biomekanik Sukan, jurulatih kecergasan pasukan mendayung UTHM, ialah Dr. Mohd Zulfadli Rozali. Beliau turut menyatakan bahawa data-data sebegini dan pengetahuan tentang keperluan sains sukan perlu ada pada setiap pasukan dalam mempertingkatkan lagi mutu prestasi sukan di UTHM.