PAGOH – Kejohanan Sepak Takraw Piala Provost Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh 2019 anjuran Pasukan Sepak Takraw UTHM yang diadakan buat julung kalinya pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan apabila mendapat penyertaan 32 pasukan sekitar negeri Johor dan Melaka.

Pada awalnya, penyertaan dibuka kepada 24 regu terawal namun sambutan hangat dari penggiat-penggiat bola rotan menambahkan lagi jumlah penyertaan. Kejohanan secara kalah singkir ini menuntut setiap pasukan untuk bermain bersungguh-sungguh bagi melayakkan pasukan mereka mara ke pusingan seterusnya.

Kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Pagoh pada 28 September lalu itu menyaksikan pasukan KBE ‘A’ dari Muar muncul juara dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM400, medal, hamper dan piala iringan selepas menewaskan pasukan daripada regu UTHM.

Sementara itu, pasukan UTHM berjaya meraih tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 berserta medal dan hamper. Manakala Pasukan Sahabat Maharani pula meraih tempat ketiga diikuti Pasukan Kg. Tui di tempat keempat.

Kejohanan ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar yang diketuai oleh pengurus pasukan, Muhammad Faris Abdul Hadi dan dibantu oleh Penasihat Pasukan Sepak Takraw UTHM, Mohd Hazrin Rahman.

Menurut Mohd Hazrin kejohanan ini merupakan salah satu platform untuk meningkatkan kemahiran insaniah para mahasiswa di samping membantu memelihara sukan tradisi ini.

“Melalui kejohanan ini, kita mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah selain menggalakkan lagi pengamalan budaya hidup sihat dalam kehidupan sehari-hari melalui penyertaan dalam bidang sukan,” katanya.

Tambahnya lagi, kejohanan ini juga dianjurkan bagi menyahut seruan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu ingin melahirkan “The Thinking Athlee.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Provost UTHM Kampus Pagoh, Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Hj Omar. Beliau turut menaja kejohanan ini dengan memberi sumbangan berbentuk piala dan hamper. Kejohanan ini juga turut mendapat tajaan berbentuk sijil daripada “JHO Marketing” untuk diberikan kepada semua peserta dan juga tajaan makanan daripada “Kafe Barracuda” khusus untuk para urus setia.