BATU PAHAT – Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih gelaran ‘Juara Keseluruhan’ dengan membawa pulang 13 pingat emas, 10 perak dan tujuh gangsa ketika menyertai Kejohanan Sukan Antara Kolej Kediaman (SUKOL) 2026 yang berlangsung pada 16 Mei 2026.
Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK) dengan kutipan tujuh pingat emas, enam perak dan lapan gangsa.
Sementara itu, Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK) pula berjaya memenangi tempat ketiga kejohanan dengan lima pingat emas, 9 perak dan 10 gangsa.
Kejohanan anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) dengan kerjasama KKLK selaku tuan rumah itu melibatkan penyertaan atlet daripada kolej-kolej kediaman UTHM yang bertanding dalam sembilan acara sukan iaitu Futsal, Bola Baling, Ping Pong, Sepak Takraw, Bola Keranjang, Catur, Aerodance, Esports dan Olahraga (acara Lontar Peluru, Lompat Jauh, 100 meter dan 4×100 meter (C) dan 4×400 meter (C)).
SUKOL 2026 menjadi platform penting dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat baharu dalam kalangan pelajar sebagai persediaan menghadapi kejohanan di peringkat lebih tinggi seperti Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).
Selain menjadi medan pertandingan, kejohanan itu turut memainkan peranan dalam memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti.
Penganjuran SUKOL juga merupakan salah satu inisiatif universiti dalam menyokong agenda Xtive@UTHM bagi melahirkan warga universiti yang sihat dari segi fizikal, mental dan rohani.
Majlis penutup SUKOL 2026 telah disempurnakan oleh Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) pada 16 Mei 2026 lalu bertempat di Stadium UTHM.
Hadir sama, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti; Prof. Ts. Dr. Halim Irwan Ibrahim, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar; Dr. Mohd Nizam Attan, Pengetua KKDK; Noreina Kepal @ Nasir, Pengetua KKLK serta Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh, Pengetua KKKP.
“Penganjuran SUKOL diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menggilap potensi dan bakat pelajar dalam bidang sukan serta memupuk budaya bersukan dalam kalangan warga universiti,” kata Dr. Anuar.


