Setiap kali Ogos dan September menjelang, Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh pelosok negara. Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia diraikan dengan laungan “Merdeka! Merdeka!,” diiringi pelbagai program patriotik, perbarisan yang tersusun rapi serta acara yang menyemarakkan semangat cintakan tanah air. Kemeriahan sambutan ini sememangnya membangkitkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Namun marilah kita jujur dengan diri sendiri dengan merenung kembali asas kekuatan negara. Tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” pada tahun ini, sebenarnya menuntut kesejahteraan bukan hanya dari sudut material tetapi juga rohani dan sosial. Mari lah kita ikhlas dengan bertanya apakah nikmat kemerdekaan ini mampu bertahan jika dinding perpaduan dan kesejahteraan mula retak ditelan keangkuhan?
Justeru, kemerdekaan bukan sekadar diukur pada kebebasan sebuah negara daripada penjajahan, tetapi juga pada keupayaan rakyat memerdekakan jiwa daripada sifat angkuh, prejudis dan kebencian. Keharmonian serta kesejahteraan tidak boleh hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata. Sebaliknya, ia terserlah melalui amalan kehidupan seharian yang memperlihatkan rasa hormat dan kasih sayang antara rakyat berbilang kaum.
Bayangkan seorang remaja Melayu tanpa ragu-ragu memimpin tangan seorang warga emas berbangsa India melintas jalan. Bayangkan juga sekumpulan belia India tampil membantu seorang pemuda Cina yang terkandas di tepi jalan tanpa sedikit pun dipengaruhi prasangka atau perbezaan latar belakang.
Gambaran seperti inilah wajah sebenar sebuah negara yang sejahtera. Semangat ini pula perlu dipupuk sejak di bangku sekolah, apabila murid daripada pelbagai kaum masih mampu berkongsi meja makan, bermain, belajar dan membesar bersama tanpa rasa curiga atau prejudis.
Adab sebagai asas keharmonian
Dalam usaha memperkukuh perpaduan negara, kita sering terlepas pandang bahawa adab ialah asas yang membentuk keharmonian masyarakat. Tanggungjawab memupuk adab lazimnya diletakkan kepada institusi keluarga dan sekolah, sedangkan hakikatnya adab hanya benar-benar bermakna apabila diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Kepelbagaian kaum di negara kita bukanlah satu kelemahan untuk diperdebatkan. Malah ia merupakan satu anugerah yang perlu di uruskan dengan sebaik-baiknya serta mampu menjadi tunjang kekuatan negara yang sebenar.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu saling kenal-mengenali (dan beramah mesra).”
Adab merupakan nilai sejagat yang diterima oleh semua tamadun. Nilai seperti hormat-menghormati, berbudi bahasa, menjaga tutur kata dan menghargai perbezaan perlu diperkasakan secara berterusan kerana inilah jambatan yang menghubungkan manusia merentasi batas agama, kaum dan budaya. Dengan adab, perbezaan mampu menjadi sumber kekuatan.
Malangnya, kita semakin kerap disajikan dengan pelbagai insiden yang mencerminkan hakisan adab dalam kalangan generasi muda. Kes buli yang menyebabkan trauma, kecederaan malah kehilangan nyawa menjadi peringatan bahawa apabila adab diabaikan, keharmonian masyarakat turut terancam.
Cabaran yang turut membimbangkan ialah kemerosotan adab dalam komunikasi di media sosial. Hari ini, perpaduan bukan sahaja diuji di dunia nyata, malah semakin tercabar di sebalik skrin telefon pintar. Tanpa kawalan diri dan nilai yang kukuh, ruangan komen media sosial mudah berubah menjadi medan pertelingkahan yang dipenuhi cacian, penghinaan dan sentimen yang menggugat keharmonian masyarakat.
Rasulullah SAW mengingatkan kita:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Nilai murni teras kesejahteraan
Jika adab sering digambarkan sebagai tingkah laku luaran, nilai murni pula adalah benteng kawalannya di dalam hati. Tanpa nilai-nilai kukuh, perlakuan adab adalah sekadar lakonan kosong.
Kesejahteraan yang diimpikan tidak akan dapat dinikmati sekiranya masyarakat gagal membina nilai bersama sebagai asas kehidupan. Dalam konteks ini, nilai ihsan wajar dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat MADANI. Ihsan mendidik kita melihat manusia lain dengan penuh kasih sayang, belas ihsan dan rasa tanggungjawab. Bukannya sebagai pesaing, ancaman atau musuh. Apabila nilai ini subur dalam masyarakat maka setiap tindakan akan didorong oleh keinginan untuk saling membantu, menghormati dan mengangkat martabat sesama insan.
Apabila nilai kemanusiaan ini wujud, maka harapan melihat kemanusiaan dan manusiawi yang Madani terlaksana. Kemanusiaan itu tidak boleh terbatas hanya kepada lingkungan kaum sendiri.
Sabda Nabi SAW:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari & Muslim).
Selain ihsan, nilai integriti dan keadilan sosial juga tidak boleh dipisahkan daripada usaha membina sebuah negara yang sejahtera. Kesejahteraan tidak akan dapat dinikmati secara menyeluruh sekiranya masih wujud pihak yang berasa dipinggirkan, di diskriminasi atau dinafikan haknya.
Oleh itu, prinsip keadilan hendaklah sentiasa berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, keluhuran undang-undang dan semangat saling menghormati, bukannya dipengaruhi oleh kepentingan kelompok atau sentimen yang bersifat sementara.
Adab dan nilai jadi perekat masyarakat majmuk
Amalan seperti gotong-royong, tolong-menolong dan muafakat adalah perekat masyarakat majmuk. Tanpa nilai ini, masyarakat akan terpisah dan kesejahteraan tidak dapat dinikmati bersama. Kita tidak perlu menunggu musibah banjir melanda lagi untuk sekadar melihat model pelbagai kaum berganding bahu membantu mangsa tanpa mengira latar belakang. Tetapi kita lebih harus terus risau kepada kes remaja yang mencederakan rakannya kerana dendam atau kesan pembulian.
Keluarga adalah asas institusi pertama mendidik adab yang kemudiannya disambut pihak sekolah sebagai medan membentuk nilai murni. Kelak mereka ke komuniti untuk menterjemahkan semangat muafakat melalui pihak kerajaan sebagai penggerak dasar yang menyokong pembangunan insaniah.
Generasi muda khususnya perlu diperkasa dengan bimbingan moral dan spiritual agar mereka tidak terjebak dengan budaya negatif seperti buli, keganasan atau tekanan sosial yang membawa kepada bunuh diri.
Cabaran buat kita semua
Adab dan nilai adalah benteng keharmonian serta kesejahteraan masyarakat MADANI. Jangan biarkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sekadar menjadi ritual tahunan yang kosong. Kibaran bendera yang diedar percuma itu memang mudah. Tetapi memerdekakan jiwa daripada sifat-sifat jumud kemasyarakatan memerlukan perjuangan sebenar.
Kemerdekaan yang sebenar adalah apabila kita masih memilih untuk beradab walaupun kita bebas untuk tidak melakukannya. Sesetengahnya mungkin bertanya, “Apa negara telah berikan kepada kita?” tetapi jarang sekali kita bertanya, “Apakah nilai yang telah kita sumbangkan kepada negara?”
Mulai hari ini mari kita buat sesuatu yang mudah. Antaranya ialah lihat diri dan keluarga kita. Hentikan budaya buli dan sentimen perkauman di media sosial. Senyap jika tiada apa yang perlu di perkatakan. Mula senyum dan menyapa jiran yang sudah bertahun-tahun tinggal berselang dua rumah dengan salam keharmonian. Kesejahteraan yang kita nikmati hari ini adalah warisan perjuangan yang dibayar dengan keringat dan kesabaran. Ia bersulam pelbagai nilai kerjasama erat antara kaum.
Kesimpulannya, Malaysia tidak akan menjadi lemah hanya kerana kekurangan individu yang bijak. Sebaliknya, negara akan menjadi rapuh apabila mereka yang bijaksana kehilangan adab, integriti dan nilai kemanusiaan. Kita sememangnya memerlukan rakyat yang mampu berbicara tentang patriotisme, tetapi lebih daripada itu, negara memerlukan rakyat yang membuktikan patriotisme melalui akhlak, amanah dan tindakan. Kerana pada akhirnya, Jalur Gemilang yang berkibar hanya akan benar-benar membawa makna sekiranya adab dan nilai terus hidup dalam jiwa setiap warganegara.

Profesor Madya. Dr. Lutfan Jaes
Pensyarah (Profesor Madya)
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 15), 12 Ogos 2026: Kibar nilai bukan hanya bendera

2. MyMetro (hmetro.com.my), 12 Ogos 2026: Kibar nilai bukan hanya bendera
https://www.hmetro.com.my/addin/2026/08/1396859/kibar-nilai-bukan-hanya-bendera
3. Malay.News (malay.news), 12 Ogos 2026: Kibar nilai bukan hanya bendera
