Dalam peredaran zaman yang serba pantas, interaksi sesama kita kini kian digantikan oleh emoji dan tulisan di skrin. Tanpa kita sedar, kita semakin jarang memberi senyuman, menyapa, atau mengucapkan terima kasih secara bersemuka.  Sedangkan tiga tindakan kecil inilah yang menjadi akar kepada nilai hormat, empati dan kemanusiaan.

Masyarakat Malaysia, dari Semenanjung yang kaya adat sehinggalah ke bumi Sabah dan Sarawak yang hidup dalam kepelbagaian dan keharmonian, sejak dahulu terkenal dengan budi bahasa yang lembut dan santun. Seperti yang dinukilkan oleh Buya Hamka dalam Lembaga Budi:

“Tegak rumah karena sendi,
Runtuh budi rumah binasa.
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.”

Namun, sebagai seorang pendidik dan anggota masyarakat, penulis melihat amalan berbudi bahasa dalam kehidupan sosial kita semakin terhakis. Ia dapat diperhatikan di tempat kerja, institusi pendidikan, malahan di tempat awam seperti hospital, restoran dan stesen minyak.

Budaya digital menjadikan kita lebih banyak berkomunikasi melalui skrin. “Emoji senyum” dan mesej ringkas seperti “tq” sering menggantikan senyuman tulus serta ucapan terima kasih dalam interaksi sebenar. Perubahan yang kelihatan kecil ini boleh memberikan kesan terhadap pembentukan karakter, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang banyak belajar dengan meniru tingkah laku orang dewasa di sekeliling mereka.

Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, marilah kita merenung kembali acuan bangsa yang ingin kita bina. Sambutan tahun ini yang mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membawa mesej yang sangat bermakna. Kesejahteraan yang hakiki bagi sebuah negara tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata. Kesejahteraan juga perlu dinikmati secara inklusif melalui keharmonian, rasa hormat dan kesantunan sosial dalam kalangan rakyat.

Pada akhirnya, Hari Malaysia bukan sekadar memperingati penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak melalui pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Hari Malaysia turut membawa makna penyatuan hati dan jiwa seluruh warganya.

Sebagai pendidik dalam bidang psikologi pendidikan, penulis amat tertarik dengan gagasan “Pendidikan Manusiawi” yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Fadhlina Sidek. Ketika berucap dalam Forum Ilmuwan MADANI Siri 13 bertajuk Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Malaya pada 26 Ogos 2026 lalu, beliau menegaskan kepentingan melihat masa depan dan pencapaian anak-anak daripada sudut yang lebih menyeluruh. Pendidikan bukan sekadar berorientasikan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi kesejahteraan dan perkembangan murid secara holistik.

Gagasan ini mengingatkan kita bahawa watak sebuah bangsa yang besar tidak boleh dibina di atas kertas peperiksaan semata-mata. Watak bangsa dibentuk melalui adab, empati dan nilai kemanusiaan yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Di sinilah amalan sekecil senyum, sapa dan ucapan terima kasih berperanan sebagai batu asas yang membentuk keperibadian anak-anak kita.

Bahasa budi tidak memerlukan penterjemah. Apabila seorang pelanggan Melayu tersenyum kepada juruwang berketurunan Cina, atau seorang anak Sarawak mengucapkan terima kasih kepada pelayan berketurunan India, di situlah keindahan watak Malaysia yang sebenar terpancar.

Mulakan dengan yang kecil. Apalah ruginya jika kita mengucapkan terima kasih kepada petugas yang menimbang sayur di pasar raya, petugas kaunter perkhidmatan atau kepada petugas di stesen minyak? Jika pelayan restoran tidak sempat menyapa, berikanlah senyuman terlebih dahulu. Amalan kecil ini mampu mencairkan hati, menjernihkan suasana, dan menghidupkan kembali semangat kekitaan.

Dari perspektif psikologi pendidikan, anak-anak banyak belajar melalui peniruan atau modeling. Mereka memerhatikan cara ibu bapa berinteraksi dengan orang lain di tempat awam dan cara guru melayani murid. Melalui proses pembelajaran sosial inilah mereka membina pemahaman tentang rasa hormat, kasih sayang dan pengurusan emosi yang sihat. Jika nilai-nilai ini terus dihidupkan, jiwa mereka akan membesar dengan empati, ketenangan dan rasa hormat terhadap orang lain.

Perbuatan baik akan membuahkan kebaikan. Kata-kata yang baik pula mampu menenangkan jiwa dan menyatukan hati. Mungkin pada awalnya terasa janggal, tetapi niatkanlah untuk memulakan amalan kecil ini setiap hari demi sebuah Malaysia yang lebih harmoni.

Jika budi bahasa tidak dihidupkan kembali dalam dunia nyata, kita berisiko melahirkan generasi yang bijak menggunakan teknologi tetapi longgar sahsiahnya, juga generasi yang cerdas akalnya, namun semakin kehilangan rasa dan jiwa. Adakah generasi sebegini yang ingin kita wariskan kepada Malaysia pada masa hadapan?

 

 

Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim

Pensyarah Kanan

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)