Perkembangan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing bukan sahaja mengundang perhatian dunia, malah turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Walaupun negara ini tidak terlibat secara langsung, kesannya terhadap ekonomi global, khususnya rantaian bekalan dan harga komoditi semakin dirasai. Antara kebimbangan utama ialah peningkatan harga makanan dan tekanan kos sara hidup yang kian menghimpit.
Realitinya, Malaysia tidak berdepan dengan krisis kekurangan bekalan makanan. Sistem pengedaran masih berfungsi dengan baik dan sumber makanan tempatan kekal mencukupi. Namun, cabaran sebenar adalah keupayaan rakyat untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam keadaan tertentu, ada yang terpaksa mencatu perbelanjaan harian demi memastikan keperluan asas terus dipenuhi.
Dalam konteks ini, pendekatan berasaskan ketakutan seperti seruan menyimpan stok makanan secara berlebihan dilihat kurang sesuai, malah boleh menambah tekanan kepada golongan yang sedia terbeban. Justeru, tumpuan perlu dialihkan kepada strategi yang lebih praktikal, berhemah dan inklusif agar semua lapisan masyarakat mampu menghadapinya tanpa rasa terpinggir.
Seiring itu, konsep Psychological Capital yang diringkaskan sebagai HERO: harapan (hope), efikasi kendiri (self-efficacy), daya tahan (resilience) dan optimisme (optimism), wajar diketengahkan sebagai asas kekuatan dalaman Masyarakat dalam mendepani cabaran ini.
Elemen harapan (hope) memainkan peranan penting dalam membantu individu melihat peluang di sebalik kesukaran. Dalam konteks tekanan kos sara hidup, harapan bukan sekadar angan-angan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan kecil yang konsisten. Sebagai contoh, setiap isi rumah boleh mula merancang perbelanjaan mingguan walaupun secara ringkas, menetapkan sasaran kecil seperti mengurangkan makan di luar atau menyimpan lebihan RM5 hingga RM10 setiap minggu. Bagi sesetengah keluarga, harapan juga hadir melalui usaha menambah pendapatan sampingan seperti menjual makanan dari rumah atau mengambil upah kerja kecil-kecilan. Tindakan ini memberi mesej jelas bahawa masih ada ruang untuk memperbaiki keadaan.
Seterusnya, efikasi kendiri (self-efficacy) memberi keyakinan bahawa setiap individu masih mempunyai keupayaan untuk mengawal keadaan yang dihadapi. Keyakinan ini boleh dibina melalui keputusan harian yang praktikal. Antaranya termasuk memilih barangan jenama alternatif yang lebih murah tetapi tetap berkualiti, membandingkan harga sebelum membeli, serta merancang menu harian bagi mengelakkan pembelian berlebihan.
Dalam konteks pengangkutan, individu juga boleh membuat pilihan yang lebih menjimatkan seperti menggunakan motosikal yang lebih rendah kos penyelenggaraan dan penggunaan bahan api, berkongsi kenderaan dengan rakan sekerja atau ahli keluarga, serta memanfaatkan pengangkutan awam apabila sesuai. Malah, amalan memasak di rumah secara konsisten berbanding makan di luar turut mencerminkan keupayaan mengawal perbelanjaan harian.
Dalam pada itu, daya tahan (resilience) menjadi benteng utama dalam menghadapi tekanan berpanjangan. Daya tahan ini boleh dilihat melalui keupayaan individu menyesuaikan gaya hidup tanpa mengorbankan kesejahteraan asas. Sebagai contoh, keluarga yang sebelum ini membeli secara harian mungkin beralih kepada pembelian secara mingguan bagi menjimatkan kos. Ada juga yang mula berkongsi sumber seperti memasak secara berkumpulan dengan jiran atau ahli keluarga untuk mengurangkan perbelanjaan. Selain itu, kemampuan untuk terus tenang, tidak panik dan kekal berfungsi dalam rutin harian walaupun berdepan tekanan kewangan juga merupakan tanda daya tahan yang kukuh.
Akhir sekali, optimisme (optimism) membentuk cara pandang yang lebih seimbang terhadap masa depan. Sikap optimistik dapat diterjemahkan melalui amalan mengawal pendedahan kepada berita yang berunsur panik, memilih untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, serta menumpukan perhatian kepada perkara yang berada dalam kawalan diri. Contohnya, daripada terlalu risau tentang kenaikan harga secara keseluruhan, individu boleh fokus kepada langkah yang boleh diambil seperti memperbaiki tabiat perbelanjaan atau meningkatkan kemahiran diri. Optimisme juga terserlah apabila masyarakat terus percaya kepada kekuatan komuniti, bahawa dalam keadaan sukar, masih ada ruang untuk saling membantu dan bangkit bersama.
Pada masa yang sama, masyarakat disaran untuk terus mengamalkan perbelanjaan berhemah, mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta mengelakkan pembaziran makanan. Amalan menyimpan lebihan makanan secara sederhana sebagai simpanan jangka pendek juga boleh dipertimbangkan tanpa membebankan kewangan isi rumah. Peranan komuniti juga tidak harus dipinggirkan. Budaya saling membantu melalui inisiatif seperti bank makanan dan sokongan sosial mampu menjadi jaringan keselamatan kepada golongan yang memerlukan. Semangat kebersamaan ini merupakan kekuatan unik masyarakat Malaysia yang perlu terus dipelihara. Dalam era maklumat tanpa sempadan, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan berita. Maklumat yang tidak sahih atau bersifat sensasi boleh mencetuskan panik serta menjejaskan kesejahteraan emosi. Oleh itu, setiap individu perlu menjadi pengguna maklumat yang bijak dan bertanggungjawab.
Kesimpulannya, tekanan kos sara hidup akibat ketidaktentuan global merupakan cabaran yang tidak dapat dielakkan. Namun, dengan mengangkat semangat HERO: harapan, keyakinan diri, daya tahan dan optimisme, serta disokong oleh tindakan rasional dan solidariti komuniti, rakyat Malaysia berupaya menghadapinya dengan lebih tenang dan berdaya tahan.

Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Junaidah Zakaria
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Fakulti Sains dan Teknologi Industri
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
