‘Ibu bapa’ kedua
Guru pada hari ini menghadapi pelbagai cabaran dalam memenuhi jangkaan dan harapan terutamanya dalam masyarakat. Situasi ini dapat kita lihat peranan guru sebagai ‘ibu bapa’ kedua dalam mengasuh dan mendidik kanak-kanak peringkat demi peringkat hingga ke menara gading. Hal demikian kerana, adanya susuk guru pada setiap peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga universiti. Sungguhpun begitu, ‘ibu bapa’ kedua ini yang berperanan penting dalam kehidupan masyarakat, sentiasa mencari resolusi dalam apa jua cabaran yang mendatang saban hari untuk menjadikan generasi yang mereka didik pada hari ini, menjadi pemacu kepada kejayaan agama, bangsa, dan negara pada suatu hari nanti.
Pembentukan sahsiah dan adab
Isu yang dihadapi pada masa kini adalah tentang akhlak, keperibadian, dan sebagainya yang melanda pelbagai lapisan generasi. Semakin lama, semakin luntur dan pudar sahsiah dek pengaruh hiburan dan budaya negatif dalam dunia tanpa sempadan. Namun begitu, individu yang berperanan dalam memulihkan isu yang rencam ini, tidak lain dan tidak bukan ialah guru. Guru bukan sekadar mengajar perkara-perkara atau tajuk-tajuk yang terdapat dalam silibus sahaja, tetapi mereka juga bertanggungjawab dalam mengajar dan membentuk keperibadian dan sahsiah murni kepada pelbagai generasi. Mereka memperbetulkan segala cara dan tingkah laku yang betul dalam perhubungan sesama manusia agar pelajar yang mereka ‘lahirkan’ bukan sahaja cerdik intelektual, bahkan bijak dalam berinteraksi dengan akhlak yang baik.
Pencungkil potensi dan bakat
Ramai individu yang berjaya pada hari ini atas sebab galakan seorang guru yang dapat mengesan potensi awal seseorang sejak bangku sekolah. Guru-guru yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti kepada pelajar perlu diraikan dengan mengenang jasa mereka selalu. Hal ini disebabkan guru merupakan pengesan bakat terawal dan menggilap bakat tersebut sehingga kita masih lagi hidup dengan potensi tersebut pada hari ini. Tanpa dorongan guru, pastinya bakat itu kekal terpendam. Sehubungan dengan itu, sifat yakin juga lahir daripada bakat yang digilap oleh guru untuk keterampilan diri individu pada masa akan datang.
Akar membina bangsa
Masa depan negara bergantung kepada generasi sekarang. Untuk membentuk dan mendidik generasi berilmu dan berakhlak merupakan tanggungjawab guru supaya negara dapat dikemudikan oleh generasi yang dapat menyumbangkan kejayaan negara dalam pelbagai aspek. Melalui pendidikan, guru berperanan dalam membina masa depan negara daripada bangsa yang berpengetahuan dan sentiasa memenuhi aspirasi negara. Maka, guru merupakan agen dalam mendidik sahsiah, rohani, jasmani, etika dan sebagainya dalam kalangan pelajar kerana guru merupakan teladan untuk pelajar yang wajar mereka contohi. Guru juga ialah penyatu para pelajar yang mempunyai latar belakang yang berbeza bagi menyemai semangat patriotisme.
Tidak dapat diganti dengan arus AI
Tidak dapat dinafikan bahawa dunia sekarang bergerak pantas dengan arus teknologi terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI). Begitu banyak algoritma dalam media dan teknologi setiap hari sehingga ‘merobotkan’ jiwa manusia. Manusia tidak boleh bergantung sepenuhnya pada teknologi sahaja, kerana manusia mempunyai hati nurani yang perlu disentuh dengan manusia. Teknologi boleh memberikan maklumat, namun guru tetap menjadi sumber inspirasi yang menyentuh setiap jiwa dalam aspek motivasi dan psikologi khususnya pembangunan karakter manusiawi. Pembinaan jati diri melalui guru perlu dididik secara realiti dan bukannya bergantung kepada dunia maya semata-mata. Hal ini demikian kerana, manusia perlu membezakan alam maya dan realiti supaya kita sentiasa berpijak pada bumi yang nyata dalam kata-kata, pendapat, hujah dan tingkah laku.
Guru diraikan sepanjang zaman
Sesiapa pun kita sekarang dengan jawatan yang kita miliki, jangan sesekali lupa guru yang telah mendidik kita daripada tidak mengenal huruf sehinggalah boleh membaca karya agung. Guru yang sentiasa diumpamakan sebagai lilin yang membakar diri, merupakan individu yang sanggup berkorban masa, tenaga dan upaya demi melahirkan anak bangsa yang cemerlang dan berjaya dalam segenap aspek. Jasa guru wajar dikenang sepanjang hayat. Maka sentiasalah menghormati dan menitip doa buat mereka walau di mana juga kita berada. Selamat hari guru buat insan yang bergelar guru dan pendidik di seluruh Malaysia.

Nor Athira binti Md Amin
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 13), 16 Mei 2026: Teknologi digital, AI tidak akan mampu ganti peranan guru

2. Berita Harian (bharian.com.my), 16 Mei 2026: Teknologi digital, AI tidak akan mampu ganti peranan guru
