Sering kali kita diingatkan adab pelajar terhadap gurunya. Namun, guru juga perlu meneliti beberapa aspek penting serta memberi perhatian terhadapnya agar proses pembelajaran berlangsung dengan harmoni dan berkesan. Dunia pendidikan masa kini, peranan guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga turut membantu dalam pembentukan akhlak dan keperibadian pelajar.
Kesabaran dan keikhlasan merupakan sifat penting yang sentiasa ada dalam diri setiap guru. Setiap pelajar mempunyai tahap kefahaman yang berbeza, maka guru akan sentiasa bersikap sabar dalam membimbing mereka. Keikhlasan dalam menyampaikan ilmu pula memberi kesan yang mendalam kepada hati pelajar serta menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Guru yang ikhlas sentiasa bersemangat mengajar dan mendidik setiap pelajarnya tanpa mengira setiap keringat dan kepayahan yang mereka lalui.
Selain itu, guru juga sentiasa bersikap adil terhadap semua pelajar tanpa mengira latar belakang, kebolehan atau personaliti. Sikap pilih kasih boleh menjejaskan motivasi pelajar dan mewujudkan jurang dalam kelas. Oleh itu, layanan yang saksama amat penting bagi memastikan setiap pelajar berasa dihargai. Sikap adil para guru sudah pasti memberikan kesan positif terhadap pelajar kerana ia dapat melahirkan persaingan yang sihat serta mengurangkan jurang sosial antara pelajar pelbagai tahap akademik. Hal ini sekali gus meningkatkan rasa hormat hasil daripada pemberian layanan yang saksama.
Tidak dinafikan guru seumpama ibu bapa kedua dalam menegur dan membimbing pelajar sewaktu mereka berada dalam waktu persekolahan. Namun, pemilihan cara dan kemahiran berkomunikasi yang berkesan amat diperlukan agar teguran dapat diterima dengan baik. Teguran yang disampaikan secara berhikmah dan berhemah lazimnya lebih berkesan serta dapat membantu membina keyakinan diri pelajar, mewujudkan rasa dihargai, malah mengeratkan hubungan positif antara guru dan pelajar. Kesan ini seterusnya akan membawa kepada suasana pembelajaran yang kondusif.
Seterusnya, guru adalah contoh teladan yang terbaik untuk semua pelajarnya. Tingkah laku, disiplin, dan cara komunikasi guru akan menjadi ikutan pelajar. Oleh itu, guru yang menunjukkan akhlak mulia dapat membentuk generasi yang beradab dan berintegriti. Bagi sesetengah pelajar, kata-kata galakan daripada guru mungkin menjadi satu-satunya sumber motivasi yang mereka terima, khususnya apabila sokongan tersebut tidak diperoleh di rumah atas sebab kesibukan ibu bapa atau penjaga. Kata-kata semangat dan penghargaan para guru terhadap usaha pelajar sebenarnya mampu meningkatkan keyakinan serta mendorong mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Guru yang beradab mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa, seterusnya meningkatkan minat dan motivasi pelajar untuk belajar. Pelajar juga akan lebih berani untuk bertanya dan melibatkan diri secara aktif dalam kelas tanpa rasa takut atau bimbang. Selain itu, sikap guru yang baik akan menjadi contoh teladan, sekali gus mempengaruhi pembentukan akhlak pelajar dalam kehidupan seharian. Hubungan yang positif antara guru dan pelajar turut membantu meningkatkan pencapaian akademik serta kesejahteraan emosi pelajar.
Pelajar perlu sentiasa menjaga adab terhadap guru. Kata-kata ini selalu kita lihat, dengar dan baca “Pelajarilah adab sebelum kamu mempelajari ilmu.” Kata-kata ini sangat jelas menyatakan adab sangat penting sebelum kita menimba ilmu. Hormatilah guru kita seperti mana kita menghormati kedua ibu bapa. Beri tumpuan sebaiknya ketika guru sedang mengajar merupakan adab paling asas pelajar terhadap gurunya. Elakkan berbual atau bermain telefon bimbit ketika guru sedang mengajar. Ia juga merupakan tanda penghargaan pelajar terhadap ilmu yang sedang dicurahkan oleh seorang insan yang bernama guru.
Para pelajar cilik perlu diterapkan dengan asas adab berkomunikasi dengan guru. Gunakan intonasi dan cara percakapan yang lembut dan baik, memberi salam atau sapaan mesra dengan guru ketika berjumpa mereka. Para pelajar juga perlu meminta izin kepada guru sebelum keluar ke tandas serta belajar menghormati guru tanpa memotong percakapan guru ketika beliau sedang memberi penerangan dan sebagainya. Pelajar juga perlu sentiasa menitipkan doa buat guru mereka dan menghulurkan bantuan untuk perkara-perkara kecil seperti mengangkat buku ke bilik guru. Amalan yang baik selalu dibalas dengan balasan yang baik.
Walau setinggi mana pun tahap kepintaran para pelajar, mereka harus tetap merasa rendah diri di hadapan guru. Keberkatan ilmu yang dipelajari lebih mudah meresap ke dalam jiwa apabila ia diterima dengan penuh rasa hormat dan tanpa sifat sombong. Kita selalu melihat para pelajar yang beradab bukan sahaja disenangi oleh guru, malah biasanya lebih mudah memahami pelajaran kerana keberkatan tersebut. Sememangnya ilmu sangat penting dalam kehidupan, namun, adab jua memastikan ilmu tersebut digunakan untuk manfaat dan kebaikan sejagat. Tanpa adab, ilmu hanya akan melahirkan ‘robot’ yang pintar tetapi tidak mempunyai nilai kemanusiaan pada diri mereka.
Hubungan antara guru dan pelajar ibarat akar dan pohon, guru yang adil membekalkan nutrisi keikhlasan kepada para pelajarnya, manakala pelajar yang beradab menjadi dahan yang teguh menjulang ilmu. Tanpa adab di hadapan ilmu, segala kepintaran hanyalah hiasan yang kosong. Maka, guru yang bertanggungjawab dan baik beserta pelajar yang meletakkan adab di tempat tertinggi adalah kunci utama untuk membentuk sebuah generasi yang bukan sahaja bijak pandai, malah turut mempunyai peribadi yang luhur.

Nurulisyazila binti Othaman
Guru Bahasa
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 19 Mei 2026: Hubungan ibarat akar dan pohon

2. MyMetro (hmetro.com.my), 19 Mei 2026: Hubungan ibarat akar dan pohon
https://www.hmetro.com.my/rencana/2026/05/1359597/hubungan-ibarat-akar-dan-pohon
3. Bernama (bernama.com), 20 Mei 2026: Guru Mendidik Dengan Hikmah, Pelajar Menuntut Dengan Adab
