Pengenalan Rukun Negara oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) adalah bertujuan untuk menjadi sebuah ideologi kebangsaan yang boleh memudarkan garis pemisah antara kaum di negara ini. Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhhum Sultan Zainal Abidin Yang di-Pertuan Agong IV pada 31 Ogos 1970 sempena ulang-tahun ke-13 kemerdekaan negara. Ia juga disasarkan mampu memperkukuh perpaduan yang lebih erat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Susur galur pengukuhan perpaduan negara terus mekar dan diperkaya di bawah kepimpinan dan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi negara. Hal ini termasuk penubuhan Kelab Rukun Negara (KRN) peringkat kebangsaan pada 08 September 2025. Kejayaan Kelab Rukun Negara dalam menjadi agen pengukuhan perpaduan membuka ruang kepada pengenalan pelbagai inisiatif baharu di peringkat nasional. Buktinya pada sekitar Bulan Ogos 2008, Bengkel Pemantapan Hala Tuju KRN di Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah diadakan dan KRN di IPT telah diberikan nafas baharu dan diberikan penjenamaan semula sebagai Sekretariat Rukun Negara (SRN).
Sebagai salah sebuah jentera perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN), SRN berperanan dalam menjadi mekanisme di peringkat IPT dalam memperkaya pengetahuan, pemahaman, penghayatan, pengamalan dan penilaian mahasiswa terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara. Di samping itu, SRN juga bertujuan sebagai sebuah platform berkesan untuk menyemai dan memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa. Menyedari kepentingan aspirasi ini, SRNUTHM menggalas tanggungjawab dan peranan signifikan dalam memastikan agenda perpaduan negara terus diperkukuh.
Pembinaan negara bangsa, agenda perpaduan nasional
Menteri Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam Majlis Amanat 2026 ada menekankan bahawa, pembinaan negara bangsa merupakan tembok utama yang mampu mengeratkan keharmonian rakyat Malaysia. Konsep ini dilihat amat signifikan dalam nembantu negara mengharungi pelbagai rintangan seperti perbezaan ideologi, politik identiti, serta tekanan daripada arus globalisasi.
Selain itu, tanpa asas negara bangsa yang teguh, masyarakat majmuk di negara ini dibimbangi mudah terdedah kepada perpecahan. Keadaan ini secara langsung akan menjejaskan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara yang telah sekian lama terbina. Ketika media sosial menjadi kuasa dominan hari ini, pembinaan negara bangsa berperanan mengeratkan rakyat di bawah satu identiti nasional. Konsep ini menarik, kerana ia tetap menghormati dan tidak menafikan kepelbagaian kaum, agama serta budaya yang menjadi ciri istimewa Malaysia.
Menteri Perpaduan turut menegaskan bahawa negara bangsa bukan sekadar tuntutan strategik bagi memastikan setiap rakyat dapat berkongsi nilai-nilai bersama dan menggalas tanggungjawab mempertahankan keamanan serta kemajuan negara, namun terdapat tiga teras utama yang digariskan iaitu kesetiaan kepada negara, penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan serta penghayatan Rukun Negara.
Sejajar dengan tema rasmi Kementerian Perpaduan Negara pada tahun 2026 iaitu “Bersama Membina Negara Bangsa,” KPN mengumumkan lima kluster utama. Kelima-lima kluster tersebut ialah Tunas Madani yang membentuk generasi muda patriotik, Komuniti Madani untuk memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi, Harmoni Madani yang menekankan kerukunan antara komuniti, Rakyat Madani yang meraikan kepelbagaian seni dan budaya, serta Warisan Madani bagi memelihara khazanah identiti negara.
Bagi memastikan aspirasi ini dapat direalisasikan, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan. Antaranya termasuk sesi libat urus, perbincangan meja bulat dan Persidangan Negara Bangsa pada September 2026 yang dijangka menghasilkan Pelan Induk Negara Bangsa. Selain itu, Kementerian Pendidikan Tinggi turut memperkenalkan kursus Aspirasi Pembinaan Negara Bangsa di institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap aspek kenegaraan dan Perlembagaan.
SRN UTHM komited menyahut aspirasi negara
Sekretariat Rukun Negara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (SRN UTHM) terus menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang penganjuran program dan aktiviti yang berteraskan nilai perpaduan, kenegaraan dan pembinaan jati diri mahasiswa. Komitmen berterusan dalam menyebarluaskan penghayatan Rukun Negara telah diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi di pelbagai peringkat. Secara tidak langsung, agenda pemerkasaan Negara Bangsa ini terus disahut kerana ia bukan semata-mata tugas Kerajaan, tetapi memerlukan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.
Sepanjang tahun 2025, SRN UTHM telah berjaya menganjurkan sebanyak 21 program di pelbagai peringkat. Pecahan penganjuran merangkumi satu program peringkat antarabangsa, 10 peringkat kebangsaan, enam peringkat intervarsiti, satu peringkat daerah, serta tiga program peringkat universiti. Selain itu, SRN UTHM turut menerima empat jemputan program luar, yang menunjukkan tahap kepercayaan dan pengiktirafan pihak luar terhadap peranan aktif dan kepakaran sekretariat dalam bidang perpaduan.
SRN UTHM juga telah berjaya merangkul beberapa anugerah di peringkat universiti seperti Anugerah Kelab/Persatuan/Sekretariat Pelajar Terbaik, enam Anugerah Pemimpin Terbaik dan enam Anugerah Program Terbaik pada tahun 2023, seterusnya pada tahun 2024, SRN UTHM telah dianugerahkan satu Anugerah Pemimpin dan tiga Anugerah Program Terbaik di Anugerah Inspirasi Mahasiswa UTHM. Bukan itu sahaja, pada tahun 2025, SRN UTHM telah menerima tiga geran pelaksanaan program berjumlah RM43,000.00 daripada Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Belia dan Sukan dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.
Antara penyertaan paling berprestij ialah Konvensyen Sekretariat Rukun Negara yang telah berlangsung pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2025 di Vivatel Hotel, Kuala Lumpur, anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Program berskala besar itu menghimpunkan wakil-wakil SRN dari pelbagai institusi dan menjadi platform penting dalam perkongsian idea, strategi pelaksanaan program perpaduan, serta pengukuhan jaringan kerjasama antara sekretariat. Legasi kejayaan SRN UTHM turut diikhtiraf apabila SRN UTHM telah dijemput untuk berkongsi Amalan Terbaik SRN kepada delegasi seluruh negara.
Secara keseluruhan, program-program SRN UTHM sepanjang tahun 2025 telah mencatatkan jumlah penyertaan seramai 5,922 orang daripada pelbagai bangsa dan agama. Hal ini sekali gus mencerminkan impak yang luas serta sambutan yang sangat positif. Pencapaian ini juga secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan SRN UTHM sebagai agen perpaduan yang proaktif dan berpengaruh dalam memperkasa nilai perpaduan serta semangat kenegaraan terutama kepada seluruh warga UTHM.
Pencapaian yang ditunjukkan oleh SRN UTHM dalam merancang dan melaksanakan program berkualiti, dijangka akan menjadikan SRN UTHM sebagai peneraju utama dalam memperkasakan nilai kenegaraan dan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda di UTHM. Bagi tahun 2026, SRN UTHM terus bersedia untuk menongkah arus perubahan melalui penganjuran pelbagai program berimpak tinggi yang bakal menjadi sistem sokongan ke arah pembentukan negara bangsa yang berkesan, berciri identiti nasional dan sejajar dengan aspirasi negara.
Farah Deena Md Rapee
Penasihat Sekretariat Rukun Negara
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Amirul Faiz Abdul Latif
Penasihat II Sekretariat Rukun Negara
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
