Setiap kali musim perayaan tiba, satu perkara yang hampir mustahil dielakkan ialah makanan. Dari lemang, rendang, kuih raya, sehinggalah air manis berwarna-warni, semuanya seolah-olah memanggil kita dengan satu mesej yang sama: “Hari ni je… esok diet balik!”. Masalahnya, “hari ni je” itu selalunya berlarutan sampai seminggu dan tanpa sedar, berat badan pun ikut beraya sekali.
Bagi ramai orang, musim perayaan memang dianggap sebagai “lesen makan tanpa rasa bersalah.” Pagi makan nasi impit, tengah hari tambah lauk, petang sambung kuih, malam serang lagi meja makan. Jika dihitung secara kasar, pengambilan kalori harian boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding hari biasa.
Namun dari sudut kesihatan, situasi ini bukan sekadar isu “berat naik sementara.” Malaysia kini berdepan cabaran serius berkaitan penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung. Data kesihatan kebangsaan menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes, manakala kira-kira satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes. Angka ini menunjukkan bahawa isu pemakanan bukan lagi perkara kecil, tetapi satu cabaran kesihatan awam yang serius.
Corak pemakanan ketika musim perayaan sebenarnya menyumbang kepada risiko ini. Kebanyakan hidangan tradisional tinggi lemak tepu, gula dan garam. Sebagai contoh, santan dalam rendang mengandungi lemak tepu yang tinggi, manakala kuih-muih dan minuman manis pula menyumbang kepada pengambilan gula berlebihan. Jika diambil secara kerap dan tanpa kawalan, ia boleh meningkatkan risiko rintangan insulin, obesiti, serta penyakit kardiovaskular.
Dalam istilah mudah, badan kita bukan sekadar “menyimpan lebihan makanan,” tetapi juga mengalami perubahan metabolik. Paras gula dalam darah boleh meningkat mendadak selepas pengambilan makanan manis, diikuti dengan penurunan yang cepat menyebabkan kita cepat lapar semula. Kitaran ini mendorong kita untuk makan lebih banyak daripada keperluan sebenar, walaupun tubuh sebenarnya sudah cukup tenaga.
Namun begitu, ini tidak bermakna kita perlu mengelakkan terus semua makanan perayaan. Pendekatan yang lebih praktikal ialah mengamalkan konsep portion control dan keseimbangan nutrisi. Kita masih boleh menikmati rendang dan lemang, tetapi dalam kuantiti sederhana. Prinsipnya mudah “makan untuk rasa, bukan untuk kenyang berlebihan.”
Sebagai panduan, kita boleh menggunakan konsep “Pinggan Sihat Malaysia” iaitu separuh pinggan diisi dengan sayur dan buah, satu perempat dengan protein dan satu perempat lagi dengan karbohidrat. Walaupun sukar untuk diikuti sepenuhnya semasa perayaan, sekurang-kurangnya ia boleh membantu kita membuat pilihan yang lebih bijak.
Minuman juga memainkan peranan besar. Banyak minuman perayaan mengandungi kandungan gula yang tinggi, yang boleh melebihi saranan harian jika diambil berulang kali. Mengurangkan pengambilan minuman manis atau menggantikannya dengan air kosong adalah langkah mudah tetapi berkesan dalam mengawal paras gula darah.
Selain pemakanan, aktiviti fizikal juga penting dalam mengimbangi pengambilan kalori. Walaupun rutin senaman mungkin terganggu, aktiviti ringan seperti berjalan, membantu kerja rumah atau bergerak secara aktif sepanjang hari boleh menyumbang kepada penggunaan tenaga. Malah, berjalan kaki dari rumah ke rumah ketika beraya juga boleh dianggap sebagai satu bentuk “senaman versi perayaan.”
Dalam masa yang sama, kita juga perlu bijak mengurus situasi sosial. Tidak salah untuk menolak makanan secara sopan jika sudah kenyang. Budaya kita memang mengutamakan layanan, tetapi kesihatan diri juga perlu diberi keutamaan. Kita boleh memilih untuk mencuba sedikit tanpa perlu menghabiskan semuanya.
Sedikit humor mungkin membantu kita ingat perut kita bukan tapak buffet bergerak dan badan kita bukan tempat simpan stok kuih raya sepanjang tahun.
Yang paling penting, kita perlu melihat diet bukan sebagai sekatan, tetapi sebagai gaya hidup. Perayaan adalah sebahagian daripada kehidupan sosial dan budaya dan tidak seharusnya menjadi sumber tekanan. Namun, tanpa kesedaran dan kawalan, ia boleh menjadi faktor yang mempercepatkan risiko penyakit kronik dalam jangka panjang.
Jika terlebih makan pada satu hari, tidak perlu rasa bersalah secara berlebihan. Apa yang penting ialah kembali kepada rutin pemakanan yang seimbang selepas itu. Konsistensi dalam jangka panjang jauh lebih penting daripada kesempurnaan dalam jangka pendek.
Kesimpulannya, diet di musim perayaan bukan sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan kesedaran, disiplin dan pendekatan yang realistik. Dalam konteks kesihatan rakyat Malaysia yang semakin mencabar, setiap individu perlu memainkan peranan dalam menjaga pemakanan sendiri. Nikmati perayaan dengan gembira, tetapi jangan abaikan kesihatan. Kerana kesihatan yang baik bukan sahaja membolehkan kita menikmati makanan hari ini, tetapi juga memastikan kita masih mampu meraikan banyak lagi perayaan pada masa hadapan. Seperti yang sering diingatkan secara berseloroh, “Cukuplah kita mengutip duit raya, janganlah kita turut mengutip kilogram baharu.”

Ts. Aida binti Muhamad
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Dan Matematik
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 6 April 2026: Diet Di Musim Perayaan, Mustahil Atau Masih Boleh?
