Baru-baru ini tular satu kes menyayat hati apabila seorang individu maut dilanggar oleh pemandu yang berada dalam keadaan mabuk. Tragedi seperti ini bukan sekadar kisah terpencil, tetapi cerminan kepada kesan besar arak terhadap manusia dan masyarakat. Dalam menelusuri isu ini, kita akan mendapati satu hakikat yang sangat menarik. Pengharaman arak bukan hanya terdapat dalam Islam, bahkan turut ditegaskan dalam pelbagai agama lain. Ini menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah satu bentuk rahmah Tuhan yang merentasi batas kepercayaan demi menjaga kesejahteraan manusia.

Dalam Islam, arak diharamkan secara jelas melalui firman Allah dalam Surah al Maidah ayat 90 yang bermaksud, “Wahai orang orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan undian nasib adalah kotor daripada amalan syaitan, maka jauhilah ia agar kamu berjaya.” Ayat ini bukan sekadar larangan, tetapi peringatan bahawa arak membawa kepada kerosakan. Rasulullah juga bersabda bahawa setiap yang memabukkan adalah haram. Ini menunjukkan Islam amat menjaga akal manusia kerana akal merupakan asas kepada kehidupan yang seimbang dan bertanggungjawab.

Hakikatnya, setiap perkara yang diharamkan oleh Allah pasti mengandungi kemudaratan. Arak bukan sahaja merosakkan individu yang meminumnya, tetapi turut memberi kesan kepada orang lain. Banyak kes jenayah seperti kemalangan jalan raya, pergaduhan dan keganasan rumah tangga berpunca daripada pengaruh alkohol. Kes yang tular baru-baru ini menjadi bukti nyata bahawa kemudaratan arak melangkaui diri peminum hingga mengorbankan nyawa insan yang tidak bersalah.

Menariknya, prinsip menjauhi arak turut ditekankan dalam agama Kristian. Dalam Bible, Kitab Proverbs 20 ayat 1 menyatakan bahawa, ”Arak memperdaya manusia dan menjadikan seseorang itu tidak bijaksana.” Dalam Ephesians 5 ayat 18 pula disebut, “Janganlah kamu mabuk dengan minuman keras kerana itu membawa kepada kerosakan moral.” Ini jelas menunjukkan bahawa ajaran Kristian juga melihat arak sebagai punca kepada hilangnya pertimbangan dan keruntuhan akhlak.

Dalam ajaran Buddha, larangan terhadap arak terkandung dalam lima sila utama. Sila kelima menuntut penganutnya menjauhi minuman yang memabukkan kerana ia membawa kepada kelalaian. Dalam Sigalovada Sutta, dinyatakan bahawa arak menjadi punca kepada pelbagai keburukan seperti kehilangan harta, pertengkaran, penyakit dan hilang maruah diri. Ini membuktikan bahawa ajaran Buddha juga menekankan penjagaan akal dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Agama Hindu turut memberi peringatan tentang bahaya arak. Dalam Manusmriti dan Atharva Veda, minuman memabukkan dikaitkan dengan kejatuhan moral dan pencemaran kesucian diri. Walaupun terdapat variasi dalam amalan, prinsip menjauhi perkara yang merosakkan tetap ditekankan. Begitu juga dalam agama Sikh, melalui Guru Granth Sahib dan panduan hidup Rehat Maryada, pengambilan alkohol adalah dilarang kerana ia menjejaskan kesedaran dan disiplin diri.

Apabila kita meneliti semua ajaran ini, jelas bahawa larangan terhadap arak adalah satu kesepakatan yang merentasi agama. Ini menunjukkan bahawa Tuhan Yang Maha Mengetahui tidak melarang sesuatu tanpa sebab. Setiap larangan adalah untuk melindungi manusia daripada kebinasaan. Inilah hakikat rahmah Tuhan yang Maha Luas, yang bukan sahaja terhad kepada satu golongan, tetapi untuk seluruh manusia.

Dalam Islam khususnya, rahmah Allah terserlah melalui penurunan al-Quran sebagai panduan hidup. Allah tidak membiarkan manusia hidup tanpa arah. Segala yang dihalalkan dan diharamkan telah dijelaskan dengan terang. Ini ibarat sebuah manual kehidupan. Sepertimana setiap mesin ciptaan manusia memerlukan panduan untuk berfungsi dengan baik, begitulah juga manusia memerlukan panduan daripada Pencipta-Nya agar tidak tersasar daripada tujuan hidup.

Lebih indah, setiap yang diharamkan tidak dibiarkan tanpa pengganti. Rahmah Allah yang luas menggantikan perkara yang haram dengan yang halal yang jauh lebih baik dan bermanfaat. Arak yang merosakkan digantikan dengan pelbagai minuman halal yang menyihatkan. Hiburan yang melalaikan diganti dengan hiburan yang mendidik jiwa. Ini menunjukkan bahawa Islam bukan agama yang menyekat, tetapi membimbing ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal, marilah kita merenung hikmah di sebalik setiap pengharaman ini. Larangan terhadap arak bukan sekadar hukum, tetapi perlindungan. Tragedi demi tragedi yang berlaku seharusnya membuka mata kita bahawa setiap ketetapan Tuhan mengandungi rahmah yang besar. Dengan memahami hakikat ini, kita akan lebih menghargai panduan Ilahi dan berusaha menjalani kehidupan yang lebih selamat, bermakna dan diberkati.

 

 

Dr. Najiah Athirah Jamaludin

Pensyarah Kanan

Jabatan Pengajian Islam

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)