BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara apabila 28 pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) berjaya memperoleh sijil menerusi Sesi Verifikasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 Bilangan 1 Tahun 2026.

Sesi verifikasi yang diadakan pada 21 hingga 23 April 2026 itu melibatkan tiga bidang kemahiran strategik yang menjadi keperluan utama industri semasa, iaitu Operasi Pemesinan CNC, Proses Kimpalan Arka Logam serta Penyeliaan Pemasangan dan Penyelenggaraan HVAC.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11 pelajar mengikuti bidang Operasi Pemesinan CNC, lapan pelajar dalam bidang Proses Kimpalan Arka Logam, manakala sembilan pelajar lagi dalam bidang Penyeliaan Pemasangan dan Penyelenggaraan HVAC.

Kesemua pelajar yang terlibat berjaya memperoleh keputusan ‘Lulus Terampil’ bagi penilaian teori dan amali, sekali gus melayakkan mereka menerima SKM Tahap 3 dalam bidang masing-masing.

Kejayaan itu membuktikan keupayaan pelajar UTHM menguasai kompetensi teknikal mengikut piawaian industri serta memenuhi keperluan pasaran kerja masa kini.

Menurut Ketua Jabatan Kemahiran dan Profesional FPTV, Ts. Dr. Reyanhealme Rohanai, pelaksanaan pensijilan kompetensi melalui Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB) merupakan antara inisiatif strategik fakulti dalam memperkasa kemahiran pelajar secara autentik, sistematik dan berorientasikan industri.

Beliau berkata pensijilan seperti SKM bukan sahaja melengkapkan pencapaian akademik pelajar, malah memberi nilai tambah signifikan terhadap kebolehpasaran graduan serta kesiapsiagaan mereka memasuki alam pekerjaan.

“Pendekatan berasaskan kompetensi ini selaras dengan aspirasi UTHM dalam melahirkan graduan yang kompeten, profesional, berdaya tahan dan bersedia memenuhi kehendak industri, selain dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti dan sektor pekerjaan,” katanya.

UTHM melalui FPTV akan terus komited memperkasa agenda TVET negara menerusi pelaksanaan pensijilan profesional secara berterusan, dengan sesi verifikasi seterusnya dijangka berlangsung pada November 2026 melibatkan kumpulan pelatih lain daripada pelbagai bidang kemahiran.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta melahirkan graduan kompeten yang mampu memenuhi keperluan industri dan memacu pembangunan negara pada masa hadapan,” tambah Dr. Reyanhealme.