BANGI – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan meneruskan kerjasama sedia ada dengan penyambungan semula memorandum persefahaman (MoU) bersama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) yang melibatkan aktiviti penyelidikan dan penyeliaan bersama dalam bidang teknologi nuklear, pengujian tanpa musnah dan lain-lain teknologi berkaitan.

Kerjasama itu juga bakal memberi peluang penempatan latihan industri bagi bakal graduan kejuruteraan serta peluang meningkatkan kompetensi pelajar dan staf melalui kerjasama latihan yang akan turut dipertingkatkan.

Inisiatif tersebut bertujuan merancakkan lagi aktiviti pemindahan ilmu dan kepakaran antara UTHM dan ANM serta menyokong aspirasi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) universiti.

Bagi meneruskan hasrat tersebut, satu majlis pertukaran dokumen yang telah ditandatangani antara UTHM-ANM telah diadakan pada 25 Oktober 2023 bertempat di ANM, Bangi bersempena berlangsungnya Majlis Perasmian Konvensyen Inovasi dan Teknikal Nuklear Malaysia (NITC) 2023.

UTHM diwakili oleh Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Ir. Dr. Sri Yulis M. Amin yang juga penyelaras MoU, manakala ANM diwakili Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, ANM, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ruziah Shafei.

Turut hadir, Ketua Jabatan (Jaringan Industri dan Kerjasama Universiti), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Dr. Raden Mohd Farhan Helmy Raden Ismail serta wakil Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM, Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa.