Oleh Sr. Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah

BATU PAHAT, 06 Nov 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bertujuan menjalin kerjasama berkaitan kelestarian alam sekitar dan peningkatan prestasi pengurusan spatial marin.

UTHM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (TNCPI), Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad manakala LPK diwakili oleh Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Kapten K. Subramaniam.

Inisiatif tersebut bertujuan merancakkan lagi aktiviti pemindahan ilmu dan kepakaran antara UTHM dan LPK.

Jalinan kerjasama ini telah mula dijalinkan sejak tahun 2022 secara tidak rasmi melalui penyelidikan yang dijalankan oleh pelajar doktor falsafah di bawah seliaan Sr. Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah berkaitan pengurusan spatial marin di Port Klang.

Selain itu, penyelidikan dalam kesan perubahan iklim terhadap pelabuhan, pencemaran air dan juga biodiversiti di kawasan pelabuhan juga sedang dijalankan dan ia dianalisis bagi menilai kesan dan implikasi terhadap kawasan pelabuhan dan alam sekitar.

Permulaan kerjasama tersebut telah memberi peluang kepada penyelidikan-penyelidikan lain yang dapat memberikan manfaat yang positif kepada masyarakat dan industri.

Kerjasama yang dijalankan itu juga dapat membantu para penyelidik untuk berkongsi maklumat, data serta hasil dapatan daripada kajian yang dijangka mampu memberi sumbangan kepada pihak LPK.

Di samping itu, ia juga memberi nilai tambah yang besar kepada UTHM dalam memperkayakan lagi bidang penyelidikan dan serta kajian masa hadapan yang akan memfokuskan kepada usaha pembangunan lestari di pelabuhan.

Inisiatif seumpama ini amat berketepatan dengan visi UTHM iaitu menjadi universiti teknikal global dalam teknologi lestari dan pengangkutan.

Turut hadir, Penolong Pengurus Besar (Operasi & Kawalselia LPK), Kapt. Kamal Ariffin Idris, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM, Prof. Madya Dr.  Mohamad Zaky Noh dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim.