BATU PAHAT, 14 Mei 2024 – Sena Traffic Systems Sdn. Bhd. menyumbang sebanyak RM650 ribu kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) yang diadakan di kampus induk pada 14 Mei 2024.

Peruntukan tersebut bertujuan menyumbang infra berkaitan kawalan trafik pintar, pengurusan dan menaik taraf peralatan bagi Makmal Sena, menaik taraf sistem dan perkakasan pengurusan lalu lintas, sistem lampu jalan, pusat kawalan dan juga kamera litar tertutup (CCTV).

Perjanjian kerjasama tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor, UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan Pengarah Teknikal, Sena Traffic Systems Sdn Bhd, David Lim Chiok Chuan, sambil disaksikan oleh Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UTHM, Naim Maslan dan Ketua Pegawai Kewangan, ITMAX System Berhad, Shaun Tee.

Dato’ Ruzairi dalam ucapannya berkata kerjasama yang bakal diadakan itu dapat mengeratkan lagi hubungan UTHM dengan rakan industri dalam usaha meningkatkan lagi aktiviti bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti perundingan.

“Moga jalinan kerjasama ini dapat merancakkan lagi aktiviti pemindahan teknologi dari industri ke universiti sekali gus memupuk kesedaran bukan sahaja kepada ahli akademik, tetapi juga kepada para pelajar khususnya berkaitan kemajuan teknologi terkini.

Perjanjian kerjasama itu juga mampu memberi manfaat kepada sekolah-sekolah sekitar Batu Pahat terutamanya dalam melaksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memangkin minat pelajar sekolah rendah dan menengah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).”

Untuk rekod, UTHM dan Sena Traffic System sebelum ini telah menandatangani dua MoA pada 14 Januari 2019 (dana Penyelidikan dan Pembangunan) dan 30 September 2022 (dana Biasiswa Sena Traffic Systems).

Sebagai timbal balik, UTHM akan berkerjasama dalam pembangunan bakat baharu,  penyelidikan dan program latihan industri di Sena Traffic Systems.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam menawarkan kursus berkaitan kejuruteraan trafik di UTHM yang merangkumi kejuruteraan trafik dalam konteks bandaraya Malaysia, pembangunan pengawal trafik, operasi, penyelenggaraan dan diagnosis Perisian Pusat Pengawal Sena.

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian tersebut, Penasihat Teknikal Sena Group, Datuk Ir. Dr. Leong Siew Mun,Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Pengarah Institute of Integration Engineering, Profesor Ts. Dr. Hj. Mohd Khairul Ahmad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, kakitangan Sena Traffic Systems dan Pegawai-pegawai universiti.