UTHM – Seramai 150 peserta dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program “Internship Preparatory Workshop: Resume Writing & Grooming” yang berlangsung secara dalam talian melalui platform “Zoom” pada 7 April 2024 lalu.

Program itu diadakan bertujuan memberi panduan berkaitan penempatan industri dan persediaan menghadapi alam pekerjaan kepada pelajar FKMP tahun tiga dan empat yang bakal menjalani program latihan industri.

Selain itu, program itu juga dilaksanakan bagi membantu pelajar mencari penempatan yang sesuai, memahami hak mereka sepanjang menjalani latihan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan program latihan industri terhadap masa depan mereka.

Program ‘Internship Preparatory Workshop: Resume Writing & Grooming’ anjuran Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM) itu juga bertujuan menyediakan platform kepada pelajar untuk berhubung secara langsung dengan badan pertubuhan kebajikan pekerja.

Para peserta turut diberi pendedahan berkaitan pengalaman kerja dan penulisan ‘resume’ yang berkesan oleh dua penceramah jemputan iaitu Mohamed Nasrul Mohamed Hatta, Pensyarah Kanan FKMP merangkap Jurulatih Kerjaya Bertauliah UTHM dan Lalitha Krishnan, Pengurus Produksi Studio dari Streamline Studios Malaysia.

Dr. Fazimah Mat Noor, Pensyarah Kanan FKMP berkata penganjuran program tersebut dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjalani latihan industri dalam membantu para graduan menghadapi alam pekerjaan kelak.

“Hasil maklum balas yang diterima, para pelajar lebih yakin dan berani untuk menghadapi alam pekerjaan dengan profesional, sekali gus mendorong mereka untuk membuat perancangan yang lebih strategik dalam pencarian peluang kerjaya,” katanya.