Oleh Tc Muhamad Khairul Fitri Sarimin

PAGOH – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program “Sustainable Construction Innovation Competition 2023” (SCIC 2023) bagi memberi pendedahan kepada pelajar dan mengasah daya kreativiti serta inovasi mereka dalam menyelesaikan masalah yang terdapat dalam sektor pembinaan.

Program kendalian Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA) yang diadakan pada 26 Jun 2023 lalu itu merupakan satu program pertandingan berteraskan inovasi dalam sektor pembinaan yang melibatkan penyertaan lebih 200 pelajar.

Mereka terdiri daripada para pelajar yang mengambil Kursus BNP 20903 Soil Mechanics and Foundation dan BNC 31503 Integrated Construction Project.

Menurut Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari, penganjuran program itu juga bertujuan untuk memperkasa pemikiran secara inovatif dan kreatif dalam kalangan pelajar dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

“Selain itu ia juga bagi memberi pengiktirafan terhadap hasil inovasi pelajar yang mencapai kriteria yang ditetapkan, di samping mewujudkan platform perkongsian idea, bahan dan persaingan sihat antara pelajar,” katanya.

Panel penilai daripada industri dan institusi pengajian tinggi lain juga dijemput bagi menilai hasil kerja para pelajar di samping menjadikan pembelajaran di universiti selari dengan kehendak industri masa kini.

Antara yang dijemput, wakil dari PETRONAS, Jabatan Kerja Raya Malaysia, MRT Sdn. Bhd., Megas Geosolution Sdn. Bhd., Bina Initiative Sdn Bhd, Ms Fibromat (M) Sdn Bhd, Kitacon Sdn Bhd, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM, Politeknik dan lain-lain lagi.

Hadiah berupa hamper diberikan kepada Johan, Naib Johan dan tempat ketiga, manakala piala pusingan pula diberikan kepada pemenang kategori ‘Projek Terbaik’ dan ‘Model Terbaik.’

Sementara itu, wakil syarikat Asia Roofting Industries Sdn Bhd (AJIYA) juga dijemput untuk mengadakan pameran Komponen IBS dan Mobile Hub bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran pelajar berkaitan teknologi pasang siap IBS.