Oleh Dr. Muhammad A’imullah Abdullah

PAGOH – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melebarkan sayapnya dengan menganjurkan simposium peringkat antarabangsa pada 7 Jun 2023 lalu sempena berlangsungnya program “MechyTech Day 2023.”

Simposium anjuran geran ERASMUS+ Modernisation of Curriculum of Textile Engineering and Textile Technology in Indonesia, Malaysia and Pakistan (SMARTEX) yang dilaksanakan di Pusat Konvensyen, Kemudahan, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh itu melibatkan penyertaan para penyelidik dari Malaysia, Indonesia dan Pakistan serta wakil dari industri.

Bertemakan ‘Empowering the New Era of Mechanical Technologies,’ beberapa pengisian lain turut diadakan antaranya pameran, pertandingan dan aktiviti bertemakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memberi pendedahan kepada staf UTHM, pihak industri serta para pelajar berkaitan kepentingan memperkasakan kejuruteraan mekanikal dan tekstil dalam bidang pendidikan, penyelidikan, industri dan masyarakat.

Para delegasi dari luar negara dan industri turut memainkan peranan berkongsi pengetahuan mereka berkenaan kejuruteraan pembuatan dan tekstil kepada warga UTHM.

Idea-idea yang telah disampaikan memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan tinggi negara bagi memastikan kebolehpasaran graduan dalam mencapai modal insan kelas pertama.

Program tersebut bukan sahaja melibatkan penyertaan warga universiti, malah pihak sekolah juga dijemput menyertai pelbagai aktiviti bermanfaat seperti taklimat berkaitan STEM serta pameran-pameran sains dan teknologi yang dapat memupuk minat para pelajar sekolah menceburi bidang STEM bagi kerjaya mereka akan datang.

Program tersebut diharap dapat membuka peluang kepada UTHM dalam membantu meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan berasaskan industri serta memodenkan pendidikan, latihan dan teknologi yang sedia ada.

Ia juga bagi menyokong usaha negara untuk menggunakan potensi modal insan dan sosial dengan cekap untuk menangani jurang kemahiran, memupuk kerjasama antarabangsa dan merapatkan dunia pendidikan dengan industri.