Oleh Zuritah A.Kadir, Nurrul Hafeezah Sahak, Ezrin Hani Sukadarin, Amir Haziq Abdul Razak

PAGOH – Bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan lagi Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan atau Work-Based Learning (WBL) bersama 24 industri terkemuka seluruh Malaysia.

Bermula awal Mac 2024, seramai 39 pelajar tahun tiga program Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BNS) dengan kepujian telah memulakan penempatan industri selama setahun di industri.

Menurut Ketua Program Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan, Dr. Zuritah A.Kadir, pendekatan WBL itu mampu memberi nilai tambah kepada pelajar sehingga menyumbang kepada kenaikan 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan baru-baru ini.

“Pihak kami berjaya menjalankan kerjasama dengan 25 syarikat di seluruh Malaysia untuk program WBL yang melibatkan pelajar kohot pertama dan kohot kedua pada tahun 2022 dan 2023 lalu.

“Pada tahun ini, sebanyak 24 syarikat telah bersetuju untuk menerima penempatan industri bagi pelajar program ini.

“Sehingga kini, pihak industri telah memberi kerjasama dan maklum balas yang sangat baik dengan pendekatan program yang menawarkan mod pembelajaran WBL secara blok di industri,” jelas beliau.

Program BNS menawarkan struktur mod industri (2u2i) yang mana pelajar perlu menjalani pembelajaran kuliah selama dua tahun setengah di universiti dan kemudian melengkapkan penempatan industri selama satu tahun di industri yang bekerjasama dengan fakulti.

Melalui program itu, pelajar mendapat pendedahan dan pengalaman yang berterusan serta berstruktur, malah penempatan industri tidak hanya membantu pelajar untuk memperoleh keterampilan dan pengetahuan praktis, tetapi juga membantu mereka menjadi lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan pada masa depan.

Sehingga kini, keperluan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan atau Safety and Health Officer (SHO) di Malaysia sangat diperlukan oleh industri.

Menjadi tugas SHO untuk menasihati syarikat mengenai langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, selain beberapa tugas lain antaranya memeriksa tempat kerja, menyiasat apa-apa kemalangan, membantu majikan atau jawatankuasa keselamatan dan kesihatan dalam menganjur serta melaksanakan program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menerusi WBL, pelajar diberi peluang untuk menjalankan tugas SHO dengan pemantauan dan tunjuk ajar daripada penyelia industri telah dilantik.

Penyelia atau jurulatih industri juga diberikan latihan oleh pihak program bagi memastikan elemen penting dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih praktikal (hands on), pembelajaran berasaskan masalah berorientasikan projek (POPBL) dan pentaksiran serta pemantauan program WBL ini.

Tambah Dr. Zuritah, usaha itu selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan program WBL yang menjadi penghubung antara institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan industri.

Inisiatif kerjasama yang ditunjukkan oleh FTK dan industri amatlah penting bagi memastikan penambahbaikan secara berterusan dalam program akademik oleh universiti relevan dengan keperluan semasa dan perubahan teknologi semasa.

Pemantauan perlaksanaan juga telah diadakan secara berkala bagi memastikan kelancaran WBL di industri.

Setiap semester pertemuan bersama pelajar dan penyelia industri diadakan secara dalam talian dan fizikal.

Dengan pemantauan yang berterusan dan teratur, penyelaras program WBL dapat memastikan bahawa program tersebut memberikan nilai tambah yang signifikan bagi peserta dan memenuhi keperluan industri secara efektif.

Menerusi WBL ini, pihak program menyediakan medan buat pelajar menterjemahkan pembelajaran akademik mereka dalam kerja-kerja praktikal dengan harapan dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar.

Ia juga dapat menyediakan peluang universiti terlibat dengan masalah industri yang sebenar yang mampu memberi manfaat kedua-dua pihak.