Oleh Ts. Dr. Amirul Syafiq Sadun

KUALA LUMPUR – Dua pasukan pelajar daripada Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih sebagai 10 pasukan terbaik dalam pertandingan ‘Honeywell STEM Design for Sustainability 2023’ yang berlangsung pada 26 Jun 2023 lalu di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (KPPI), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Pertandingan kerjasama tiga pihak iaitu Honeywell, Universiti Malaya dan Pusat STEM UM itu telah berjaya menarik penyertaan lebih 30 pasukan dari universiti penyelidikan dan empat universiti teknikal (MTUN).

Dua pasukan UTHM yang diketuai oleh Nurul Izzah Abd Razak dan Saranjuu Chulakit A/L Cham Ren telah diselia oleh Ts. Dr. Amirul Syafiq Sadun dan Ts. Dr. Lam Hong Yin.

Mereka memulakan penyertaan sejak awal tahun 2023 dan kemudiannya pada Mac 2023, telah terpilih ke dalam “Top 20” dan seterusnya disenaraikan sebagai peserta peringkat akhir “Top 10” oleh pihak penganjur.

Kumpulan pertama telah membawa tajuk aplikasi hibrid tenaga solar dan mikrohidro yang mengetengahkan kaedah baharu dalam penjanaan tenaga elektrik bagi kegunaan domestik manakala kumpulan kedua membawa tajuk berkaitan alat pengesanan tahap stres individu dalam pencegahan penyakit strok dengan mengunakan aplikasi sensor.

Pelajar yang terlibat telah membentangkan idea, kaedah dan prototaip cadangan secara terperinci kepada juri-juri yang terdiri daripada pihak industri dan ahli-ahli akademik, yang akhirnya melayakkan mereka terpilih menjadi 10 pasukan terbaik bagi kategori ‘Tenaga Hijau serta Keselamatan dan Kesihatan.’

UTHM berharap kejayaan yang diperoleh itu dapat menggalakkan lagi penglibatan pelajar-pelajar lain dalam pertandingan sebegini, sekali gus dapat mengharumkan lagi nama universiti ini di Malaysia.