Oleh Ts. Dr. Roslinda Ali

Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) sedang menganjurkan pertandingan Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL) 2023 di 30 sekolah terpilih sekitar daerah Tangkak dan Muar, Johor. 

Pertandingan yang mendapat tajaan utama Bank Simpanan Nasional (BSN) itu bermula pada 1 Mei 2023 lalu dan akan tamat pada 31 Ogos akan datang. 

Objektif program adalah untuk mendidik warga sekolah tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, selain memberi pendedahan berkaitan kaedah terbaik pengasingan sisa di punca.

Melalui program tersebut, para pelajar didedahkan kepada konsep penukaran sisa kepada harta, yang mana mereka diajar untuk melihat sisa sebagai salah satu sumber pendapatan.

Pertandingan JESAWIL 2023 menyaksikan lima kategori pertandingan yang mana tiga daripadanya merupakan aktiviti pengasingan sisa dan kitar semula secara langsung, dan dua kategori adalah secara tidak langsung. 

Bagi Kategori KitaRecycle Wira Lestari, warga sekolah dikehendaki mengumpul dan mengasingkan bahan-bahan kitar semula mengikut kategori sebelum dikutip oleh pihak SWM untuk penilaian. 

Manakala bagi Kategori Ecobrick Wira Lestari, peserta dikehendaki mengumpulkan sisa plastik untuk dimasukkan ke dalam botol minuman dan dijadikan bahan konkrit ringan yang boleh digunakan untuk pembinaan ringan dan landskap. 

Kategori Usahawan Wira Lestari pula menyaksikan para peserta menghasilkan sabun dari minyak masak sawit terpakai. 

Mereka dikehendaki menggunakan kreativiti masing-masing dan menjual sabun tersebut bagi penjanaan pendapatan. 

Manakala untuk dua kategori lagi, peserta dikehendaki menyampaikan cerita dan membuat persembahan berdasarkan tema pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. 

Sepanjang pertandingan berlangsung, pihak penganjur akan membuat kunjungan ke sekolah-sekolah yang dipertandingkan bagi membuat promosi tentang program dan juga memberi bimbingan secara langsung kepada peserta tentang pembuatan ecobrick dan penghasilan sabun dari minyak masak sawit terpakai.  

Menurut pengarah program, Ts. Dr. Roslinda Ali, kerajaan telah menggubal dan memperkenalkan  Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara pada 2002 dan diterima pakai pada 2005 yang mana konsep pengasingan sisa di punca dan kitar semula mula diperkenalkan kepada rakyat Malaysia. 

”Sepanjang 21 tahun konsep ini diperkenalkan, kadar kitar semula negara telah mencapai 33.2 peratus pada tahun 2022, yang mana kadar pertumbuhannya agak perlahan jika dibandingkan dengan negara-negara lain. 

”Sekiranya Malaysia ingin mencapai sasaran kadar kitar semula negara kepada 40 peratus menjelang tahun 2025, maka langkah-langkah yang lebih agresif perlu diambil bukan sahaja di peringkat kerajaan, malah di peringkat swasta, badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan bagi memastikan rakyat mempunyai kesedaran, ilmu, dan komited dalam melakukan amalan pengasingan sisa di punca dan kitar semula,” katanya. 

Beliau berharap pertandingan JESAWIL 2023  dapat membuka minda warga sekolah untuk lebih memahami bahawa sisa pepejal yang terhasil bukanlah sampah yang harus dibuang begitu sahaja, tetapi boleh menjadi sumber kewangan jika diuruskan dengan betul.

”Pengurusan sisa pepejal yang baik bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malahan dapat membantu menyelamatkan alam sekitar dari terus rosak,” tambah beliau.

Terkini, sebanyak tujuh sekolah telah membuat janji temu dengan pihak sekretariat mengadakan promosi dan bimbingan secara bersemuka di sekolah masing-masing. 

Pihak seketariat turut menyediakan platform dalam talian seperti Google Site, Telegram dan WhatsApps bagi tujuan penyebaran maklumat, bimbingan dan pertanyaan. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang pertandingan tersebut, layari https://sites.google.com/view/jelajah-sekolah-angkat-lestari/home?authuser=0