Oleh Muhammad Sharmizie Sakri, Prof. Madya Dr. Fadillah Ismail

MERSING – Sebanyak 200 kilogram sampah berjaya dikutip oleh 157 pelajar Fakulti Pegurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menyertai Program Kesedaran Alam Marin:“Global Beach Clean Up” pada 8 Jun 2023 lalu bertempat di Pulau Mawar Mersing.

Program khidmat sosial sempena ‘Hari Lautan Sedunia’ itu diadakan bertujuan untuk meneruskan usaha memulihara dan memelihara kebersihan persisiran pantai.

Program anjuran Kelab Pengurusan Teknologi (TMB) di bawah bimbingan Ts. Dr. Chan Shiau Wei itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Mersing dan Sea Life Malaysia.

Selain aktiviti membersihkan persekitaran pantai, program itu turut diisi dengan sesi “Conservation Talk & Awareness” oleh Pensyarah UTHM, Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan dan Mohd Alzam Mohd Affandy yang berkongsi tentang tajuk ‘Pencemaran Plastik dan Ancamannya terhadap Hidupan dan Ekosistem Marin di Mersing.’

Selain itu, bagi memeriahkan lagi program, beberapa pertandingan bertemakan alam semula jadi turut diadakan iaitu ‘Who’s heavier,’ ‘The Unique Among Us’ dan ‘Polaroid of the Nature.’

Menurut Nazirah Masidi, wakil Majlis Daerah Mersing selaku penganjur program, objektif utama penganjuran adalah untuk memupuk semangat bekerjasama antara pelajar UTHM dengan Sea Life Malaysia dalam menjaga kelestarian lautan marin di negara ini.

“Ia juga sebahagian daripada gerakan membudayakan kebersihan pantai secara bersama antara pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat dalam memelihara zon pesisiran pantai kita,” katanya.

Hadir sama merasmikan program, Dekan FPTP, Profesor Madya. Dr. Shafie Mohamad Zabri.

Beliau dalam ucapannya berkata pelaksanaan program itu dapat menyediakan para peserta dengan pengetahuan, kemahiran dan motivasi untuk memahami dan menangani cabaran SDG#14 iaitu Life Below Water dan SDG#15 iaitu Life Below Island.  

Beliau juga berharap program seumpama itu dapat meningkatkan lagi kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap penjagaan ekosistem lautan pada masa kini supaya kelestariannya dapat dirasai untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Pengarah Bahagian LEGOLAND Malaysia Resort, C S Lim menyifatkan aktiviti pembersihan pantai sebagai usaha penting untuk mengekalkan Pulau Mawar di Mersing sebagai sebuah lokasi pelancongan yang sentiasa dikunjungi ramai.

“Pelancong akan tertarik untuk datang ke sini jika pantainya cantik dan bersih, oleh itu kita sangat mengharapkan masyarakat setempat lebih peka dengan keadaan ini, bila datang berkelah ke pantai mahupun pulau, pastikan sampah tidak dibuang merata,” katanya.