Tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh pendidik di Malaysia diraikan dan diberi pengiktirafan hasil daripada jasa bakti mereka mendidik anak bangsa. Seorang pendidik boleh diibaratkan sebagai pembina bangsa dan negara. Pendidik telah melahirkan insan-insan hebat yang telah membina dan memajukan negara kita melalui ketabahan, kasih sayang dan pengorbanan mereka. Pendidik juga yang telah membentuk watak, keperibadian dan membawa anak bangsa ke destinasi yang membanggakan.  Namun begitu, pendidik bukan sahaja terikat dengan tugasan mendidik tetapi juga dengan bebanan pentadbiran yang memenatkan.  Tugasan ini kadang kala mengundang tekanan pekerjaan kepada pendidik. Sebagai seorang pendidik kadangkala mereka terlalu banyak memberi perhatian terhadap pelajar sehingga menyebabkan mereka keletihan atau “burnout”. Kesihatan mental pendidik yang terbeban dengan tugas bukan mengajar selain perlu memastikan tugasan hakiki mereka dilaksanakan perlu sentiasa diambil berat.

Profesion perguruan memerlukan persediaan yang rapi daripada segala aspek termasuklah mental, fizikal dan emosi.  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kebelakangan ini menganggarkan lebih 10 ribu guru telah membuat pilihan bersara awal setiap tahun. Statistik guru di Melaka pada tahun 2022 telah mengenal pasti kebanyakan daripada mereka menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat menyebabkan sebahagian besarnya mengambil keputusan untuk bersara lebih awal.

Pendidik yang berkualiti tinggi dan sihat adalah pemacu utama pencapaian pelajar.  Adalah penting untuk memastikan pendidik sentiasa sejahtera mental, emosi dan fizikal bagi meningkatkan kualiti pengajaran. Terdapat beberapa pendekatan untuk memupuk kesedaran kesihatan mental dalam persekitaran pendidikan agar pendidik boleh mendapat manfaat daripadanya sekali gus mencipta budaya tempat kerja yang lebih kondusif kepada mereka.

  1. Galakkan komunikasi terbuka tentang isu kesihatan mental

Komunikasi secara terbuka dan jujur ??tentang isu kesihatan mental adalah penting dalam menangani dan mengurus kesejahteraan diri. Kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Mewujudkan suasana yang mana individu berasa selamat untuk membincangkan isu kesihatan mental sama seperti membincang isu kesihatan fizikal seperti mekanisme mengatasi dan mengurangkan gejala yang berkaitan dengan penyakit mental. Adalah penting untuk menangani isu kesihatan mental dari awal kerana ia boleh menghalang isu menjadi lebih serius.

  1. Mewujudkan budaya penjagaan diri

Mewujudkan budaya penjagaan diri dan kesejahteraan dalam kalangan pendidik agar mereka lebih mampu memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelajar. Antara aktiviti penjagaan diri termasuklah berehat, mendapatkan sokongan dan melibatkan diri dalam aktiviti yang menggalakkan kesihatan mental dan fizikal. Pendidik adalah manusia yang ada keperluan dan batasan mereka sendiri.  Menjaga diri bukanlah mementingkan diri sendiri sebaliknya ia mengutamakan kesejahteraan diri, mengurangkan keletihan di samping meningkatkan kepuasan kerja dan perkhidmatan.

  1. Menyediakan sumber untuk pengurusan tekanan

Mengurus tekanan adalah menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan profesional mereka. Pendidik hendaklah sentiasa cakna dengan kesejahteraan emosi dan mental mereka.  Sentiasa tahu bagaimana dan bila untuk mengukur tekanan yang  mereka alami.  Pendidik juga perlu peka di mana untuk mendapatkan bantuan dan sokongan serta bagaimana untuk mengurus tekanan.

  1. Kenal pasti tanda-tanda kelesuan (burnout) awal dan ambil tindakan untuk mengatasinya dengan cepat

Menyedari tanda-tanda awal kelesuan (burnout) adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mental yang baik. Walaupun kadang kala ia berbeza untuk setiap orang, namun petunjuk biasa adalah seperti keletihan fizikal dan emosi, kekurangan tenaga atau motivasi dan penurunan produktiviti. Pengukuran secara berterusan dan menilai kesihatan mental ialah alat utama yang boleh membantu mencegah kelesuan daripada menguasai diri. Mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesejahteraan mental boleh membantu mengelakkan kelesuan dan mengekalkan keseimbangan hidup.

  1. Memberi pendedahan mengenai topik kesihatan mental

Sebagai seorang pendidik adalah penting untuk menjaga kesihatan mental dan memastikan persekitaran kerja yang sihat dan produktif. Sentiasa mengenal pasti gangguan kesihatan mental biasa yang boleh menjejaskan prestasi kerja seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan penyalahgunaan bahan. Mengadakan bengkel atau ceramah tentang kesihatan mental boleh meningkatkan kesedaran dalam menguruskan kesihatan mental atau mengenali gejala kesihatan mental pada orang lain. Dengan menggalakkan budaya empati dan persefahaman boleh mewujudkan ruang yang selamat untuk pendidik membincangkan isu kesihatan mental dan mendapatkan sokongan apabila diperlukan. Keadaan ini boleh menyumbang kepada kesejahteraan pekerja secara keseluruhan di tempat kerja.

  1. Mendapatkan sokongan kesihatan mental jika perlu

Sentiasa menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan diri dan mendapatkan sokongan kesihatan mental jika mempunyai tanda-tanda kemurungan, kebimbangan dan keletihan. Rasa letih dan tidak gembira tidak sama dengan tertekan. Ambil perhatian lebih jika mengalami masalah keletihan dan masalah tidur, degupan jantung dan pernafasan yang cepat, perubahan selera makan dan penurunan berat badan, putus asa, sakit kepala yang berterusan dan masalah penghadaman. Menyedari tanda-tanda ini dan mendapatkan sokongan perubatan atau psikologi adalah langkah pertama untuk membantu diri menjadi lebih sihat.

Kesimpulannya isu kesihatan mental menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal, mental, emosi dan sosial seseorang individu. Bukan itu sahaja, isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan pendidik perlu dipandang serius berikutan ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara. Isu ini tidak boleh dipandang mudah.

 

 

 

Dr. Noraishah Daud

Pusat Kaunseling Universiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 7 Jun 2023: Kesejahteraan mental pendidik tingkat kualiti pengajaran

https://malaysiagazette.com/2023/06/07/kesejahteraan-mental-pendidik-tingkat-kualiti-pengajaran/