Oleh Prof. Ts. Dr. Seow Ta Wee, Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan

BATU PAHAT – Bagi membantu merancakkan lagi aktiviti pelancongan daerah Batu Pahat, sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Seow Ta Wee telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi melaksanakan kajian berkaitan potensi pembangunan Sungai Batu Bahat sebagai pusat eko-pelayaran.

Pembangunan konsep eko-pelayaran sungai merupakan satu konsep penerapan alam sekitar dalam memastikan kelestarian sungai sebagai medium suntikan pembangunan terbaharu sektor pelancongan di kawasan pesisiran sungai dapat direalisasikan.

Hasil kajian pasaran serta perbincangan kumpulan fokus (FGD) mendapati majoriti responden yang terlibat dalam kajian tersebut bersetuju Sungai Batu Pahat dibangunkan sebagai kawasan eko-pelancongan baharu.

Projek tersebut dijangka mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa serta dapat menjadi pemangkin pembangunan sosio-ekonomi yang beridentitikan tempatan.

Selain itu, hasil kajian yang dijalankan pada 2021 hingga 2022 itu juga bakal menjadikan Sungai Batu Pahat sebagai kawasan eko-pelancongan, sekali gus berupaya meningkatkan kesedaran umum terhadap penjagaan alam sekitar, habitat haiwan, pembangunan waterfront serta dapat menonjolkan lagi imej bandar Batu Pahat melalui penglibatan penduduk tempatan dan pihak-pihak berkepentingan.

Projek eko-pelayaran yang dicadangkan oleh para penyelidik UTHM itu akan bertumpu di sepanjang Sungai Batu Pahat bermula dari Benteng Batu Pahat iaitu di sebelah Jambatan Tun Razak sehingga ke Pulau Sialu dengan anggaran jarak perjalanan sejauh kira-kira 4.5 kilometer.

Menurut Ta Wee, sebanyak 18 lokasi telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk dijadikan kawasan pelancongan di sepanjang titik pelayaran tersebut.

“Pihak kami percaya pembangunan kawasan waterfront yang menghadap Sungai Batu Pahat akan dapat menarik perhatian pelancong untuk menggunakan perkhidmatan eko-pelayaran sungai dari Bandar Batu Pahat ke Pulau Sialu,” katanya.

Tambah beliau, konsep eko-pelayaran sungai yang dicadangkan itu akan melalui kawasan bandar Batu Pahat, habitat paya bakau, habitat burung, burung bermusim serta habitat buaya, kawasan pertanian serta pemandangan indah Gunung Banang, Bukit Penggaram dan Bukit Soga.

“Kewujudan seperti rumah api di Pulau Sialu dan di Bukit Segenting, jambatan cinta di perkampungan nelayan Segenting serta pemandangan senja yang indah di muara Sungai Batu Pahat juga diharap dapat menjadi tarikan istimewa untuk para pengunjung.

“Dengan kekayaan alam semula jadi yang terdapat di sepanjang pelayaran ini, pelancong juga dapat dididik dengan amalan cintakan alam sekitar,” katanya.

Untuk rekod, konsep eko-pelayaran Rio Fermoso itu telah berjaya meraih beberapa anugerah dalam pertandingan penyelidikan dan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya pernah meraih pingat emas dan perak di 34th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX 2023) dan di International Research and Innovation Symposium and Exposition (RISE2022).

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Kosmo (muka surat: 18), 8 Jun 2023: Sungai Batu Pahat berpotensi jadi produk pelancongan

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 32): Sungai Batu Pahat berpotensi jadi ekopelayaran

 

3. Utusan (utusan.com.my): Sungai Batu Pahat berpotensi jadi ekopelayaran https://www.utusan.com.my/nasional/2023/06/sungai-batu-pahat-berpotensi-jadi-ekopelayaran/  

 

4. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com): UTHM perkenal konsep eko-pelayaran sungai, rancakkan pelancongan Batu Pahat

https://malaysiagazette.com/2023/06/09/uthm-perkenal-konsep-eko-pelayaran-sungai-rancakkan-pelancongan-batu-pahat/

 

5. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my): Eko-pelayaran sungai mampu rancakkan pelancongan Batu Pahat

https://mediadigitaljohor.gov.my/eko-pelayaran-sungai-mampu-rancakkan-aktiviti-pelancongan-batu-pahat/    

 

6. China Press (Johor) (page:C4), 10 Jun 2023: Sungai Batu Pahat can be developed for ecotourism

 

7. Johor China Press (johor.chinapress.com.my), 10 Jun 2023: ???18??? ?????????

https://johor.chinapress.com.my/20230610/%e6%b2%bf%e6%b2%b3%e6%9c%8918%e6%97%85%e6%b8%b8%e5%8c%ba-%e5%b3%87%e6%a0%aa%e6%b2%b3%e5%8f%af%e5%8f%91%e5%b1%95%e7%94%9f%e6%80%81%e6%b8%b8/