Oleh Amanda Chew Qin Xue, Muhammad Ikmal Harun, Azmal Sabil, Nasrul Arif Ahmad Mahmud

BATU PAHAT, 18 Apr 2023 – Seramai 68 anak-anak yatim dirai dalam program ‘Sentuhan Kasih Ramadan’ anjuran Kelab Architecture Brigade dan Kelab Kebajikan Staf Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (CESWEC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program dengan kerjasama Wisma Yatim Batu Pahat itu diisi dengan majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih dan penyampaian sumbangan tunai duit raya serta barangan keperluan diri kepada kumpulan anak yatim terbabit.

Ketua Jabatan Senibina UTHM, Profesor Madya Ts. Dr. Izudinshah Abd Wahab dan presiden CESWEC, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Adib Mohamad Razi mewakili fakulti menyampaikan sumbangan sejurus selesai sesi berbuka puasa.

Untuk rekod, sumbangan yang melibatkan peruntukan kira-kira RM2,900.00 itu merupakan hasil kutipan dana yang dikumpulkan melalui CESWEC.

Turut hadir ke majlis tersebut, Pengerusi Wisma Yatim Batu Pahat, Dato’ Haji Awang Haji Mohamad.

Pelaksanaan program tersebut diketuai oleh pelajar Saadatuddaraini Saidi, dibantu oleh jawatankuasa Kelab Architecture Brigade dan pelajar-pelajar tahun dua program senibina.

Mereka dibimbing oleh penasihat kelab pelajar, Dr. Azmal Sabil dan Nasrul Arif Ahmad serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FKAAB, Profesor Madya Ts. Dr. Azeanita Suratkon.