Oleh Dr. Adi Syahid Mohd Ali, Dr Lutfan Jaes

PULAU PERHENTIAN – Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Jabatan Perikanan Besut dengan kerjasama Persatuan Siswazah Generik PPUK telah melaksanakan program “Sea Turtle Conservation Expedition 2023” pada 5 hingga 8 Mei lalu bertempat di Pantai Tiga Ruang, Pulau Perhentian, Terengganu.

Program tersebut diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan populasi penyu sekali gus memberi kesan positif kepada ekosistem laut yang semakin terancam.

Pelaksanaannya juga bagi memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari tentang habitat penyu laut dan bagaimana menjaga kelestariannya.

Program yang diketuai Penasihat Persatuan Generik, Dr. Adi Syahid Mohd Ali melibatkan penyertaan pelajar siswazah PPUK, sukarelawan dan komuniti setempat.

Dalam misi tersebut, mereka berjaya membina Hatchery penyu lestari sebagai usaha memelihara dan memulihara populasi penyu laut yang semakin terancam.

Menurut Dr. Adi, pelbagai aktiviti pengumpulan data dan maklumat, penjagaan sarang penyu, perlindungan telur dan anak penyu serta pembersihan kawasan pantai berjaya dilakukan dengan sempurna.

“Menariknya, pusat penetasan telur penyu laut dibina menggunakan bahan kayu terpakai beserta teknik modular installation untuk membina Hatchery penyu yang efisien.

“Konsep pembinaan itu dipilih bertujuan untuk mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar serta mengguna semula kayu terpakai.

“Teknik modular installation ini memudahkan pemasangan serta membolehkan Hatchery penyu dibina dengan cepat dan mudah dipindahkan jika diperlukan,” jelas beliau.

Sementara itu, penggunaan kayu terpakai sebagai bahan pembinaan pula bertujuan mempromosikan konsep pembangunan lestari dan mendorong kepada penggunaan bahan semula jadi.

“Dalam jangka panjang, penggunaan bahan kayu terpakai dan teknik modular installation diharap dapat membantu mempercepat usaha pemeliharaan dan pemuliharaan populasi penyu laut di kawasan tersebut tanpa merosakkan alam sekitar,” katanya.

Pusat penetasan telur penyu laut yang telah siap dibina di Pulau Perhentian telah diserahkan secara rasmi kepada Ketua Pejabat Bahagian Taman Laut dan Perlindungan Sumber Daerah Besut, Abdul Ghafar Saleh sebagai tanda kesinambungan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan populasi penyu laut di kawasan tersebut.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di: 

1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 19 Mei 2023: ‘Sea Turtle Conservation Expedition 2023’ UTHM tingkatkan kesedaran pemuliharaan penyu

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/sea-turtle-conservation-expedition-2023-uthm-tingkatkan-kesedaran-pemuliharaan-penyu