Oleh Ts. Dr. Sabariah Musa

BATU PAHAT, 16 Nov 2022 – Pusat Pembelajaran Maya (CVL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengadakan program khidmat masyarakat (KTP- CSR) iaitu program ‘Infografik Awesome dan Pendigitalan’ di Sekolah Kebangsaan Pintas Puding, Parit Raja bagi berkongsi ilmu infografik dan pendigitalan kepada warga sekolah.

Program yang diketuai oleh Ts. Dr. Sabariah Musa, Ketua Jabatan Pembangunan Pembelajaran Maya bersama 19 staf CVL berjaya menarik minat murid-murid tahun enam untuk mencuba rakaman secara mini studio.

Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada murid-murid berkaitan cara rakaman dan penghasilan bahan digital.

Menurut Dr. Sabariah, pihak CVL ingin melihat sejauh mana keperluan dan dan prasarana sekolah tersebut dapat menyahut perkembangan ini, selain membantu pihak sekolah dalam merealisasikan ‘Sekolah Digital’ seperti yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

“CVL sedia berkhidmat sekiranya program ini masih diperlukan kerana ia merupakan pembelajaran sepanjang hayat.

“Ia juga sebagai pencetus idea digital dalam memberi khidmat nasihat yang baik dan berterusan dalam membangunkan konten yang diterima umum.

“Apa yang penting, menjadi ‘viral’ dan mendapat liputan luas sesuatu konten menjadi satu kepuasan utama kepada geneasi kini,” katanya.

Program tersebut turut menyaksikan para pesertanya berani berhadapan dengan kamera dan boleh bercakap dengan baik.

“Ini kerana generasi alfa yang dilahirkan sekitar tahun 2010 hingga 2025 adalah generasi yang terbiasa dengan teknologi informasi dan cara pembelajaran mereka berbeza berbanding dengan generasi sebelumnya,” katanya.

Golongan tersebut memiliki potensi lebih tinggi untuk berjaya dalam industri digital berbanding generasi Z. 

Dunia mereka hanya berdamping dengan gadget dan teknologi canggih atau sesuai dipanggil ‘generasi digital.’

Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada perlu ditambah baik mengikut permintaan atau keperluan murid-murid masa kini seperti mempertingkatkan kemahiran komputer dan pemrograman bagi mengasah minat dan kemahiran digital mereka.

Kurikulum juga perlu dibentuk ke arah membentuk murid-murid yang kreatif menggunakan teknologi bagi penghasilan kandungan digital yang hebat.