Oleh Profesor Sr. Dr.Rozilah Kasim

KLUANG, 10 Nov 2022  – Bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris murid sekolah, Pusat Penyelidikan Pengurusan Fasiliti (CeFM) di bawah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah telah mengadakan Program English Camp for Future Leaders bertempat di Pusat Latihan Jabatan Orang Asli (JAKOA), Kluang.

Program yang melibatkan penyertaan 131 murid tahun lima itu bertujuan membina keyakinan murid untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan berani, tanpa ada rasa malu dan rendah diri.

Segala modul dalam program itu dijalankan secara interaktif dengan menggunakan bahasa mudah dan ditambah dengan pelaksanaan aktiviti yang menyeronokkan.

Program English Camp for Future Leaders melibatkan beberapa staf UTHM iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Narimah Kasim sebagai penyelaras program, dibantu oleh tujuh fasilitator iaitu Dr. Khadijah Md Ariffin, Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim, Sr. Dr. Mohd Hafizal Ishak, Profesor Madya Dr. Rozlin Zainal, Profesor Madya Dr. Azlina Md Yassin, Dr. Rumaizah Ruslan dan Profesor Sr. Dr. Rozilah Kasim.

Mereka turut dibantu oleh 20 pelajar FPTP dari program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi,  Sarjana Muda Pengurusan Pengeluaran dan Operasi dan Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan.

Manakala SK Seri Kampung Tengah pula diwakili Cikgu Farid Syazwan Nordin sebagai penyelaras program, dibantu oleh tiga guru bahasa Inggeris iaitu Cikgu Nur Farhana Haron, Nor Fatinah Mohamad Nor dan Sazalita Mohd Sahudi.

“CeFM mengucapkan ribuan terima kasih  kepada kepada semua yang terlibat dan juga Guru Besar, SK Seri Kampung Tengah, Cikgu Norizam Mohd Junid atas keprihatinan beliau menyokong pelaksanaan program ini untuk manfaat murid-murid.

“Pihak kami berharap program ini menjadi pemangkin untuk kerjasama lain pada masa akan datang antara UTHM dengan sekolah-sekolah sekitar Batu Pahat dan Kluang,” kata Dr. Narimah.