MUAR – Bagi menerapkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan memberi ruang kepada murid sekolah terokai bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif menubuhkan UTHM STEM Volunteers pada awal 2021 lalu.

Pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar pelbagai fakulti itu ditubuhkan bertujuan menggalakkan pelajar UTHM menyertai aktiviti yang bertemakan pemindahan ilmu berkaitan STEM, sekali gus sebagai usaha menarik minat murid sekolah terhadap bidang tersebut. 

Beberapa pensyarah daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah terlibat secara langsung dalam menyelia pasukan tersebut.

Mereka terdiri daripada Ts Dr. Amirul Syafiq Sadun dan Ts. Mohd Fahmi Abdul Rahman dari FTK, Dr. Furzani Pa’ee dan Dr. Siti Noor Asyikin Mohd Razali dari FAST.

Untuk rekod, pasukan sukarelawan yang diketuai oleh pelajar FTK, Malvina Ludan itu berjaya memperoleh dana sebanyak RM6 ribu daripada pihak KHIND Starfish Foundation pada pertengahan tahun 2021 lalu setelah mewakili UTHM ke pertandingan “Project for Happiness 2021” peringkat kebangsaan.

Dana tersebut diperolehi melalui pelaksanaan aktiviti bertajuk “Ignite the Fun in STEM” yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Parit Keroma Darat, Muar yang merupakan sekolah angkat UTHM.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah membantu pihak sekolah mentransformasi sebuah bilik stor kepada bilik aktiviti STEM pada November 2021.

Menurut Malvina, hampir sebulan pasukan STEM Volunteers berusaha menyempurnakan transformasi tersebut yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Antara aktiviti yang dilakukan, mengemas, mengecat, menyusun dan melengkapkan bilik aktiviti STEM dengan perkakas yang bersesuaian untuk murid sekolah.

“Bilik aktiviti STEM tersebut disasar menjadi ruang bagi murid sekolah melakukan pelbagai aktiviti.

“Bilik itu dilengkapi dengan beberapa set robot serta ruang bersesuaian untuk permainan robotik hasil idea kreatif pelajar UTHM.

“Antaranya ruang pembangunan dan pengaturcaraan robot sumo, robot lego dan robot line following serta terdapat juga sudut-sudut interaktif seperti sudut bacaan dan sudut sains/matematik,” jelas beliau.

Tambah Malvina, usaha yang memerlukan tenaga dan komitmen yang jitu itu berjaya direalisasikan dengan kerjasama yang baik antara pihak sekolah dan pasukan sukarelawan.

“Pastinya program kesukarelawanan seperti ini mendatangkan manfaat bukan sahaja untuk murid sekolah, bahkan menjadi platform yang baik untuk pelajar UTHM mengasah bakat dan kemahiran insaniah mereka.

“Kami yang menyertai pasukan sukarelawan ini berpeluang merasai pengalaman kerja secara berpasukan dan pengalaman menguruskan aktiviti, selain berpeluang mengaplikasi apa yang dipelajari di dalam kelas melalui aktiviti perkongsian ilmu,” katanya.

 

Transformasi Bilik Aktiviti STEM di Sekolah Kebangsaan Parit Keroma Darat, Muar.