BATU PAHAT, 26 Sept 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama tiga universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan perundingan.

Majlis yang diadakan di Ruang Bacaan, Tan Sri Johan Jaafar, Aras 3, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, manakala Universiti Utara Malaysia diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, Universiti Malaysia Pahang diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Universiti Malaysia Kelantan diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Razli Che Razak.

Kerjasama akademik, penyelidikan dan perundingan ini telah dirancang dan diusahakan sejak akhir tahun 2021 lagi selaras dengan misi UTHM iaitu menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid.

Ia juga selari dengan sasaran hala tuju universiti yang baharu iaitu untuk menjadi sebuah Global Technopreneur University pada tahun 2030 (GTU 2030).

Ketiga-tiga universiti ini mempunyai kekuatan tersendiri dalam memacu pembangunan penyelidikan dan pembangunan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing dalam konteks sains dan teknologi.

Dalam usaha meningkatkan pembangunan dan peranan universiti agar selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), adalah menjadi satu keperluan untuk institusi pengajian tinggi di Malaysia bergerak secara kolaboratif dengan mengintegrasikan kepakaran yang ada di sesebuah universiti dengan universiti lain.

Kini, kemajuan penyelidikan terutamanya dalam fasa pasca pandemik bukan sahaja berdasarkan satu bidang tujah semata, malah ia perlu dilaksanakan dengan menggabungkan kepelbagaian bidang atau disiplin ilmu.

Jalinan kerjasama antara UTHM dan tiga universiti awam ini amat signifikan yang mana perjanjian ini digerakkan di bawah geran kontrak Collaborative Research Grant (CRG), yang kajiannya dijalankan selama setahun.

Kerjasama empat pihak di bawah CRG ini bernilai RM40 ribu, yang mana dana sebanyak RM10 ribu disumbangkan oleh setiap rakan universiti, manakala RM10 ribu lagi disumbangkan oleh UTHM.

Geran tersebut telah diusahakan oleh Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom dan ia menjadi program sulung yang dijalankan di bawah FPTP.

Usaha sebegini dilihat dapat meningkatkan lagi visibiliti berkaitan kepakaran yang ada di universiti masing-masing dalam memenuhi keperluan industri dan komuniti terutama dalam bidang pengurusan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar, Abdul Halim Abdul Rahman; Dekan FPTP, Prof. Wan Fauzi @ Wan Fauziah Wan Yusoff; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) FPTP, Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom merangkap penyelaras MoA; Ketua Penyelidik UUM, UMP dan UMK, ketua dan ahli CSIEM, pegawai-pegawai UTHM serta wakil dari rakan universiti.