BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bakal menyambut ulang tahun ke-30 penubuhannya pada 16 September 2023 akan datang.

Bagi memperingati tarikh keramat penubuhannya pada 16 September 1993, UTHM telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-30 pada pada 18 Ogos 2022 lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk Parit Raja.

Bermula dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), universiti ini dinaiktaraf sebagai Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada 12 April 1996, diikuti dengan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (KUiTTHO) pada 30 September 2000 sehinggalah diumumkan sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 1 Februari 2007.

Seiring dengan pertambahan usianya, UTHM terus komited dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan menghasilkan graduan yang dapat memenuhi keperluan industri, komuniti dan negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dalam ucapannya berkata pada tahun ini, UTHM telah berjaya meletakkan dirinya di ranking 4001-500 The World University Ranking (Asia) dan 1001-1200 dalam The World University Ranking 2023.

UTHM juga telah menerima pengiktirafan lima bintang dalam dalam penarafan Sistem Pengumpulan Data Universiti Awam (MyMohes) manakala kebolehpasaran graduannya pula mencapai 95.11 peratus.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga UTHM yang membawa universiti ini sampai ke tahap yang amat membanggakan pada hari ini.

“Saya percaya, kerjasama erat yang kita jalin ini akan terus membawa UTHM ke tahap yang lebih gemilang pada masa akan datang khususnya dalam mencapai Hala Tuju UTHM untuk menjadi Global Technopreneur University (GTU) serta Digital TVET menjelang tahun 2030,” katanya.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan cucu kepada mantan Perdana Menteri Malaysia ke-3, Tun Hussein Onn yang namanya telah diabadikan pada nama universiti ini.

Turut diadakan pada majlis tersebut, satu sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UTHM, Huawei dan Telekom Malaysia (TM).

Dalam perjanjian kolaborasi tersebut, TM dan Huawei bertindak sebagai pemacu digital kepada UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi merealisasikan perancangan induk digitalisasi universiti 2030.

Usaha ini bagi menyokong hasrat kerajaan menjayakan agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara.

Selain itu, Menteri Besar Johor turut melancarkan Makmal Artificial Intelligence (AI) UTHM yang merupakan salah satu projek kerjasama antara HUAWEI dan TM.

Salah satu daripada inisiatif di bawah kerjasama pendigitalan pendidikan tinggi adalah pelaksanaan AI Lab di empat universiti di Malaysia. UTHM merupakan universiti yang terpilih di Johor untuk menerima initiatif ini selain UTM. 

HUAWEI bersama TM sebelum ini telah menyumbang peralatan makmal AI atau lebih dikenali dengan kecerdasan buatan untuk memacu penggunaan AI sebagai sebahagian daripada kerjasama inovasi AI Kebangsaan.

Sumbangan tersebut secara umumnya bertujuan menggalakkan pembangunan bakat digital di negara ini.