Oleh Lina Zainal

BATU PAHAT – Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menubuhkan Pusat Servis Penterjemahan bagi memenuhi permintaan warga kampus sejak awal tahun 2022.

Pusat Servis Penterjemahan di bawah Writing Unit ini menawarkan servis terjemahan dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu, melibatkan bahan seperti artikel ataupun dokumen-dokumen rasmi universiti.

Pusat ini dikendalikan oleh guru bahasa yang sebelum ini telah ditauliahkan oleh Institut Terjemahan Bahasa Malaysia (ITBM).

Menurut ketua unit, Dr. Salawati Ahmad walaupun servis yang ditawarkan murah dan berpatutan berbanding pasaran luar iaitu serendah RM 0.40/perkataan sahaja, proses penterjemahan akan dilakukan mengikut format yang betul seperti yang telah ditetapkan oleh ITBM.

“Oleh itu para pelanggan tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkan perkhidmatan ini yang mengambil masa kira-kira 14 hari bekerja setelah sebut harga servis dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Kelancaran proses penterjemahan adalah bergantung kepada jumlah perkataan dan aras kesukaran dokumen yang diterima,” katanya.

Sementara itu, Dekan PPB pula turut menyatakan sokongan penuh beliau terhadap penubuhan pusat servis ini.

“Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap kerja-kerja terjemahan, taawaran perkhidmatan seumpama ini sangatlah bertepatan dengan keperluan semasa warga kampus.

“Saya yakin penterjemah yang terlibat mampu menyediakan perkhidmatan terjemahan yang berkualiti sekali gus menjadi salah satu sumber penjanaan pendapatan untuk PPB,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan servis ini, bolehlah hubungi Dr. Salawati Ahmad melalui email writingunitcls@uthm.edu.my