Nilai teras universiti dan strategi kepimpinan

Universiti ialah institusi pengajian tinggi yang menyediakan persekitaran dan kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan diberi kuasa untuk memberikan ijazah akademik kepada pelajar atau mahasiswa. Dengan kata lain, universiti sebagai tempat tumpuan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, tempat penemuan ilmu dan pengetahuan baharu untuk membantu mengembangkan pertumbuhan induvidu dan komuniti serta berperanan untuk meningkatkan kualiti hidup dan memupuk daya saing ekonomi. Ini secara jelas menerangkan bahawa tiga nilai teras utama bagi sesebuah universiti ialah manusia, alam sekitar dan kewangan.

Manusia dan kemanusiaan yang ada bersamanya seperti staf universiti, mahasiswa dan komuniti setempat merupakan nilai teras utama kewujudan sebuah universiti manakala persekitaran iaitu alam semula jadi dan alam bina yang lengkap dengan pelbagai prasarana merupakan nilai teras kedua manakala kekuatan keewangan sebuah universiti ialah nilai teras ketiga dalam kepimpinan sesebuah universiti.

Adalah menjadi tanggungjawab tampuk kepimpinan universiti untuk memberi pengiktirafan dan mengangkat martabat staf universiti sebagai aset terbesarnya. Ini termasuk kedua-dua staf akademik dan sokongan di setiap peringkat pentadbiran dan pengurusan. Menggalakkan pembangunan kerjaya untuk semua staf adalah suatu merit yang besar bagi mereka dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Di samping itu pelajar adalah merupakan aset yang tidak kurang pentingnya walaupun kehadiran mereka di kampus sekadar cuma tiga atau empat tahun sahaja. Namun tempoh yang singkat itulah sebenarnya kehidupan yang memberi kesan kepada masa hadapan mereka dan perlu dimanafaatkan sepenuhnya. Mereka sewajarnya perlu diberikan peluang bukan sahaja untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi malah perlu meluaskan pengalaman dalam pembangunan diri melalui kemahiran teknikal dan insaniah. Mereka boleh menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan di luar dewan kuliah seperti penyertaan dalam aktiviti sukan, kebudayaan serta kesukarelawanan. Komuniti berhampiran atau di persekitaran universiti akan menghargai kewujudannya hanya kerana mereka berada berhampiran halaman universiti. Nilai dan semangat universiti tersebut akan melimpah kepada mereka dan perkongsian ini akan diperkuatkan jika penglibatan selanjutnya tersedia melalui penyertaan dalam apa juga program anjuran universiti seperti kebudayaan, pembangunan ekonomi, penyelidikan dan pemindahan pengetahuan diwujudkan untuk mereka.

Alam sekitar atau persekitaran semula jadi dan buatan mempunyai hubungan yang rapat dengan kelestarian manusia. Maka adalah sangat penting untuk kepimpinan universiti menjaga dan menghormati anugerah alam yang tidak ternilai ini dengan baik dan sempurna. Setiap universiti mempunyai keunikan persekitarannya yang tersendiri dan pembangunan fizikal hendaklah mengikut falsafah kelestarian atau secara mampan. Ini termasuk persekitaran yang telah terbina seperti infrastruktur, bangunan, kemudahan, asrama, makmal, perpustakaan, fakulti, stadium, kolam renang, dan sebagainya.

Pembiayaan atau sumber kewangan adalah nilai teras ketiga selepas alam sekitar yang mana jumlah peruntukan yang diperolehi atau bajet sesebuah universiti menentukan kitaran keseimbangan operasi universiti. Dana yang diperolehi dari sumber luar seperti peruntukan kerajaan atau melalui aktiviti penjanaan pendapatan seperti wakaf, zakat, endowmen, yayasan dan syarikat terbitan universiti serta lain lain sumber merupakan nadi pengerak ataupun sinergi kepada proses pencapaian hala tuju yang dirancang.

Pengemblengan dalam mengatur dan menyusun ketiga-tiga teras utama ini boleh mencerminkan corak kepimpinan universiti dan merupakan penentu kepada kejayaan sesebuah universiti. Strategi kepimpinan dan nilai teras sesebuah universiti dapat dilihat dengan jelas apabila kewujudannya dihargai oleh masyarakat setempat dan diiktiraf oleh para ilmuan dan masyarakat dunia kerana mampu berdiri teguh melaksanakan fungsi sebuah menara gading sebagai institusi penyebar ilmu yang standing dengan universiti lain yang diiktiraf dunia. Masyarakat dunia menghargai sesebuah universiti kerana nilai dan teras yang dipegang oleh seluruh warganya dan pengaruh tampuk pimpinan yang berjaya mengendali universiti tersebut melaksanakan fungsi dan tanggungjawab utamanya dengan penuh inovatif, amanah dan profesional.

Sebuah universiti mestilah mempunyai perancangan strategi masa hadapan yang berasaskan pencapaian yang dikehendaki bagi suatu tempoh waktu yang munasabah. Ini termasuk meletakkan hala tuju universiti pada suatu pencapaian atau kejayaan tertentu yang dirancang mengikut acuan dan hasrat yang diletakkan oleh tampuk kepimpinan utama universiti dengan keterlibatan secara bersama oleh seluruh warga. Kejayaan yang dimaksudkan termasuklah peningkatan pencapaian yang lebih baik dari penilaian masyarakat antarabangsa dan pengiktirafan rakan pentadbir universiti lain yang bertaraf dunia. Justeru itu sebuah universiti bukan sahaja perlu mempunyai perancangan strategi yang teratur malah mesti mempunyai kepimpinan yang berstruktur dan efisien yang diketuai oleh pemimpin yang hebat dan berkredibiliti.

Secara umumnya terdapat tiga teras utama dalam kepimpinan yang berkesan iaitu Strategi, Sistem dan Struktur yang dikenali sebagai (3S) oleh Dr. Amat Taap Manshor, Pengarah Urusan Pusat Kecemerlangan AJM Academy. Amat Taap menjelaskan bahawa kepimpinan ialah proses untuk membangunkan sesuatu visi yang mempengaruhi orang lain dengan memberi inspirasi dan motivasi untuk bergerak ke arah mencapai apa jua matlamat dengan semangat bersama. Seorang pemimpin mesti mempunyai visi yang jelas dan mempunyai strategi (teras pertama) yang betul dalam mengurus manusia untuk mencapai matlamat yang dicipta. Ia melibatkan apa tujuan sesuatu matlamat itu dicipta dan bagaimana hendak mencapai matlamat tersebut. Objektif yang hendak dicapai itu hendaklah bersifat boleh diukur dan boleh jadi dalam bentuk indeks pencapaian utama (KPI) yang diterjemahkan dalam proses kerja atau paparan yang dapat dilihat oleh ahli dan pelaksana sesuatu tugas.

Seorang pemimpin sebuah universiti juga perlu mempunyai suatu sistem (teras kedua) yang boleh mengawal proses pelaksanaan sesuatu aktiviti atau tugas yang berkaitan untuk mencapai matlamat yang dibina. Ini termasuk dasar atau garis panduan, polisi serta tatacara kerja piawai yang diamalkan supaya gerak kerja berjalan dengan teratur dan tersusun serta menjamin kualiti pencapaian yang diharapkan. Seterusnya dalam kepimpinan universiti perlu ada struktur perlaksanaan (teras ketiga) yang mana tunggak kepimpinan perlu mengenal pasti siapa yang layak atau mampu melaksanakan tugas dan aktiviti yang dirancang. Ia melibatkan pemilihan individu yang kompeten untuk mengetuai suatu kumpulan kerja yang diberi tugas tertentu bagi mencapai objektif yang dibina. Ini adalah sebahagian daripada tugas pemimpin iaitu membangunkan pemimpin lain dengan memberi latihan, bimbingan dan motivasi mengikut keperluan tugas dan aktiviti mereka.

Seperti kata ahli falsafah terkenal Tom Peters, Great leaders do not create followers, they create more leaders.” Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang mampu mengurus barisan pemimpin pelapis dari segenap lapisan pengurusan dan pentadbiran institusi. Memang tidak dapat dinafikan adakalanya berlaku isu ketidakstabilan penjajaran pelan strategik dalam organisasi yang mana komunikasi yang kurang jelas berkaitan pelan strategik kepada ahli organisasi oleh kepimpinan utama tidak dapat difahami oleh pentadbir atau warga universiti di peringkat bawahan dan akar umbi secara menyeluruh. Di sesetengah universiti di Malaysia berlaku ketirisan maklumat dan ketidakfahaman tentang hala tuju dan aspirasi institusi dalam kalangan ahli.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Alawi Sulaiman, Pengarah Pusat Kepimpinan Institusi (ILD) Universiti Teknologi Mara (UiTM), tampuk kepimpinan sesebuah universiti harus melaksanakan komunikasi secara berkesan bagi memastikan semua ahli di dalam organisasi sedar, faham dan menghayati pelan strategik organisasi mereka secara bersama dan menyeluruh. Selagi mana komunikasi berkesan yang dimaksudkan tidak dapat dilaksanakan nescaya hasrat yang dirancang dalam pelan strategi mereka akan menghadapi kesukaran dan menemui jalan buntu dan berliku yang sukar untuk dicapai. Menurut Alawi lagi, sesi “Townhall” sebelum, semasa dan selepas pembinaan sesuatu perancangan strategi adalah mustahak bagi menerangkan hala tuju, matlamat dan objektif mereka ke peringkat akar umbi. Kenapa pelan strategi itu perlu dilaksanakan dan bagaimana semua ahli boleh menyumbang kepada pencapaian perancangan strategik tersebut juga perlu dijelaskan. Penggunaan bahasa yang mudah dan sesuai dalam penyampaian serta kepelbagaian saluran maklumat seperti risalah, infografik dan poster melalui media sosial adalah perlu.

Profesor Madya Datin Dr. Nor Liza Abdullah, Timbalan Dekan Siswazah, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berpandangan bahawa tiada penjajaran skop kerja yang jelas ke arah pencapaian pelan strategik yang dibina turut memberi kesan kepada kegagalan sesuatu universiti atau organisi untuk mencapai kejayaan. Menurut Nor Liza, pemimpin perlu meningkatkan penglibatan (involvement) dan keterlibatan (engagement) sebelum perancangan strategik itu dibuat, semasa ianya dibina dan selepas terbentuk lengkapnya pelan strategik tersebut. Ini termasuk melibatkan lebih ramai warga universiti di peringkat pelaksana bermula dari proses pembangunan lagi supaya kesedaran setiap ahli tentang peranan mereka dan bagaimana tindakan mereka untuk menyumbang kepada pencapaian matlamat strategik tersebut dapat ditingkatkan.

Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula menyatakan bahawa meningkatkan penghayatan (internalizing) visi dan misi menerusi keseimbangan (material dan kemanusiaan) serta memberi motivasi kepada ahli menerusi pembangunan sistem ganjaran yang sesuai turut dapat membantu menjayakan pelan strategi yang dirancang oleh kepimpinan sesebuah universiti di Malaysia. Walaupun ianya bukanlah sesuatu yang wajib dilaksanakan tetapi ia akan membantu mempercepatkan proses pencapaian yang dikehendaki dan meningkatkan mutu kerja mereka.

Secara umumnya cabaran utama dalam kepimpinan universiti ialah keupayaan tampuk kepimpinan untuk berfikir secara keusahawanan tentang organisasi dan penawarannya dalam konteks persekitaran perniagaan tempatan, serantau dan global. Ini termasuk keupayaan organisasi untuk mengembangkan struktur organisasi yang boleh berinovasi secara berterusan dan berdaya saing dalam proses penghasilan produk, perkhidmatan, dan perniagaan.

Selain itu, keupayaan untuk membina kelebihan tersendiri dapat meningkatkan daya saing dengan memberi fokus kepada sasaran pasaran tertentu. Penghasilan produk yang benar-benar diperlukan dan dihargai oleh pelanggan juga memberi kesan kepada kejayaan sesuatu kepimpinan organisasi dan institusi. Dalam konteks sebuah universiti, melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing sesuai dengan keperluan industri dan masyarakat adalah agenda yang utama. Justeru itu keupayaan untuk memperhalusi strategi kepimpinan peribadi dan menilai keberkesanan kepimpinan serta bersedia untuk terus membangunkan diri dan organisasi adalah merupakan tunggak utama dalam tampuk kepimpinan universiti.

 

 

 

Profesor Sr Ts. Dr. Haji Lokman Hakim Haji Ismail

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe