Sahabat kopi

Mungkin kita hanya membayangkan ‘Sahabat kopi’ kita hanya orang yang kita ajak ‘mengopi’ di kedai makan atau warung. Mungkin juga dia adalah orang yang kita membuang masa bersama sambil menikmati secawan kopi? Bagi pandangan penulis sendiri, sahabat kopi adalah sinonim dengan kawan atau sahabat yang kita selesa berbicara bersama tentang apa jua topik. Sahabat yang setia mendengar luahan rasa ketika sedih mahupun gembira.

Hidup kita memang tidak lari dari ujian atau masalah. Kadangkala masalah atau ujian tersebut selepas kita bermunajat mengadu dan berdoa kepada yang Maha Esa, kita akan cuba mencari seseorang untuk mendengar luahan rasa hati kita. Bukan untuk mengadu tapi ianya lebih kepada meluah dan menceritakan agar perasaan yang sedang kita alami bukan ditanggung sendiri. Sahabat inilah kita cari sebenarnya bukan untuk berharap dapat menyelesaikan masalah kita tetapi cukuplah dengan kata-kata semangat yang diberi, memberi respon di setiap cerita kita, itu juga sudah cukup memadai.

Namun kita juga harus berhati-hati dalam memilih sahabat kopi yang adakala semakin menambah masalah kepada diri sendiri. Mungkin ada di antara sahabat kopi kita terdiri daripada ‘internet bergerak’. Habis merata cerita kita disalurkannya kepada orang lain. Ada juga yang mungkin bersikap umpama ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Mungkin ada juga yang dalam kalangan ‘ah engkau engkau, aku adalah aku’ selesai mendengar luahan rasa kita, dia langsung tidak mempedulikan kita. Justeru, pemilihan kawan kopi yang baik sangat penting.

Pilihlah kawan yang amanah untuk kita meluahkan. Jujur juga penting dalam persahabatan. firman Allah didalam Surah At-Taubah ayat 119. Maknanya: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.

Seeloknya carilah kawan atau sahabat yang sama jantina dengan kita dalam bercerita masalah yang kita sedang hadapi. Ini adalah penting bagi menjaga ikhtilat di antara lelaki dan perempuan serta memelihara daripada fitnah. Hindarilah daripada berkongsi cerita suka duka bersama bukan pasangan kita atau berkongsi kisah dengan pasangan orang lain, walaupun kita merasakan dia orang yang sangat sesuai mendengar masalah kita. Ini mungkin menimbulkan fitnah, atau syak wasangka yang tidak baik. Seterusnya, menambah masalah yang sudah sedia ada.

Carilah kawan yang mempunyai akhlak dan peribadi yang baik dan selalu bertutur dengan lemah lembut. Ini sangat penting kerana mereka akan memberi nasihat dan teguran dengan penuh hikmah. Mungkin nasihat dan tegurannya tidak mampu kita turuti, akan tetapi kita dapat menerimanya dengan hati yang tenang dan terbuka. Bayangkan sahaja kawan kita memberi teguran dan nasihat dengan kasar, pastinya masalah yang ada akan ditambah pula dengan duka daripada sikap kawan tersebut.

Adakala kita terlepas bercerita tentang masalah dan aib kita kepada sahabat kita, maka, pilihlah kawan yang boleh menjaga aib kita dan orang lain. Baginda Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa menutupi (aib) saudaranya sesama muslim di dunia, Allah menutupi (aib) nya pada hari kiamat. – [HR Ahmad 22101].

Usah pendam dan menjeruk hati seorang diri carilah sahabat kopi yang kita selesa untuk bercerita. Pilihlah waktu yang sesuai untuk duduk bersama sambil berbual dan menikmati aroma kopi bersama sahabat. Semoga jalinan ukhuwah bersama sahabat sejati ini kekal dan bermanfaat sepanjang masa.

Artikel ini juga telah diterbitkan di :

1. malaysia gazette.com, 30 September 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/09/30/sahabat-kopi/

 

Nurulisyazila Othaman

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Onn Hussein Malaysia (UTHM)
Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2022Rencana
Subscribe