MUAR – Bagi meneruskan usaha meningkatkan kesedaran tentang pentingnya ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekumpulan pensyarah dan pelajar daripada tiga fakulti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berganding bahu menjayakan program perpindahan ilmu bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Muar pada Julai lalu.

Kumpulan pelajar dan pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah berkongsi ilmu berkaitan STEM khususnya dalam bidang robotik, teknologi herba dan matematik.

Program ini melibatkan penyertaan para guru mata pelajaran Rekabentuk Teknologi (RBT) bersama 150 murid tingkatan tiga dan 60 murid aliran sains tulen, tingkatan empat dan lima.

Kumpulan pensyarah FTK yang diketuai Ts. Dr. Amirul Syafiq Sadun, dibantu oleh Dr. Nor Anija Jalaludin, Ts. Megat Satria Zainuddin Yaacob dan Dr. Nor Shahida Mohd Shah.

Mereka memberi pendedahan berkenaan asas pengaturcaraan robotik, pameran inovasi dan demonstrasi pelbagai jenis robot.

Manakala kumpulan pensyarah FAST yang diketuai Dr. Furzani Pa’ee pula dibantu oleh Dr. Nor Atiqah Norazlimi, Dr. Siti Noor Asyikin Mohd Razali, Dr. Nurul Nadia Adnan dan Dr. Siti Amira Othman.

Mereka memberi pendedahan berkenaan aplikasi biodiversiti dalam kehidupan, sistem berteraskan konsep matematik, teknologi robotik, sinaran dan dron.

Turut serta, pensyarah FKEE, Prof. Madya Dr. Jamaludin Jalani yang telah memberikan ceramah berkaitan kepentingan bidang STEM pada masa hadapan.

Kumpulan pensyarah terbabit berharap usaha seumpama ini dapat memberi ilmu yang bermanfaat serta menjadi pencetus kepada kejayaan murid-murid sekolah khususnya dalam bidang STEM.