Oleh Kamarul-Azhar Kamarudin

BATU PAHAT – Seramai 170 pelajar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Pandan teruja mempelajari pendidikan berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di bawah program komuniti MECHY-CARE anjuran Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program yang dianjurkan selama tiga hari itu bertujuan memperkenalkan STEM kepada pelajar sekolah rendah di samping mempromosikan program Mekanikal di bawah FKMP.

Dekan FKMP, PM Ir Dr. Bukhari Manshoor berkata para pensyarah mengambil peluang cuti semester ini untuk melakukan khidmat masyarakat di samping berkongsi ilmu kejuruteraan kepada pelajar sekolah rendah.

“Program pemindahan ilmu ini diadakan untuk memberi pendedahan dan memupuk minat pelajar sekolah rendah terhadap mata pelajaran yang berteraskan STEM melalui demonstrasi, pembinaan dan pertandingan roket air, penggunaan pencetak 3D, aplikasi menggunakan Arduino, dron, peralatan pengukur suhu dan kebisingan dan robot.

“Usaha ini dilaksanakan bertujuan menggalakkan pelajar memilih jurusan STEM di peringkat sekolah menengah, pengajian tinggi dan seterusnya dalam kerjaya,” katanya.

Tambah beliau, program ini membabitkan pendedahan teknologi terkini seperti penggunaan peralatan dan peranti teknologi dalam memantapkan pemahaman pelajar dalam subjek STEM.

“Ia juga sebagai mempromosikan program Kejuruteraan Mekanikal yang terdapat di universiti ini di samping mengeratkan hubungan antara UTHM dan sekolah-sekolah sekitar daerah Batu Pahat.

“Aktiviti yang dijalankan itu juga bertujuan meningkatkan kreativiti pelajar dalam menterjemahkan reka bentuk ke aplikasi sebenar sekali gus memberi mereka peluang mengendalikan peralatan sains secara praktikal,” katanya.

FKMP bercadang untuk menganjurkan program seperti ini ke sekolah-sekolah lain pula agar pelajar sekolah turut mendapat manfaat daripada aktiviti pemindahan ilmu kendalian pendidik UTHM.

 

Berita ini juga diterbitkan di :

MECHY-CARE pupuk minat murid SK Seri Pandan terokai STEM

1. sinarbestari.sinarharian.com, 3 Oktober 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/mechy-cara-pupuk-minat-murid-sk-seri-pandan-terokai-stem/

2. Malaysia MSN.com, 3 Oktober 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/mechy-care-pupuk-minat-murid-sk-seri-pandan-terokai-stem/ar-AA12vWbv