Keharmonian Malaysia warisan yang perlu dipelihara

Foto: Bernama

Tanggal 31 Ogos 1957 dan juga 16 September 1963 merupakan detik bersejarah yang tidak mungkin dilupakan oleh semua daripada kita sebagai warganegara Malaysia. 31 Ogos merupakan tarikh yang disambut oleh kita di Malaysia sebagai memperingati detik bersejarah negara mendapat kemerdekaan. Manakala tarikh 16 September pula kita raikan setiap tahun bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia iaitu penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Sudah 65 tahun kita mengecapi nikmat kemerdekaan. Kita hidup dalam suasana yang harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum. Latar belakang kehidupan yang sebegini menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang unik kerana memiliki kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan cara hidup. Keadaan ini merupakan suatu kelebihan bagi negara kita di mata orang asing yang datang ke Malaysia.

Demi mengekalkan khazanah yang berharga ini, kedamaian dan keharmonian dalam kehidupan yang berbilang kaum ini perlulah dipelihara. Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian latar belakang, sikap hormat menghormati dan tolak ansur kita sebagai rakyatnya perlulah berada di tahap yang tinggi. Adalah sangat penting bagi kita untuk memahami budaya, bahasa, agama dan cara hidup kaum-kaum yang ada di negara ini. Melaluinya, jurang perbezaan antara kaum dapat kita kurangkan. Seterusnya kita juga akan menjadi individu yang lebih bersikap terbuka.

Sikap hormat menghormati dan juga tolak ansur yang tinggi perlulah dipupuk agar keharmonian dalam negara kita akan berkekalan dan keamanan yang kita nikmati hari ini dapat kita wariskan kepada generasi akan datang. Keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri setiap dari kita dan generasi seterusnya. Oleh itu, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara kita.

Istilah “Keluarga Malaysia”, sebenarnya adalah suatu ungkapan yang sangat bersesuaian dengan suasana kepelbagaian kaum yang ada di negara kita. Dengan menganggap setiap daripada kita sebagai ahli keluarga, pastinya kita akan menjaga keharmoniannya dan akan cuba menghormati hak masing-masing. Kita juga akan cuba menerima kelebihan dan kekurangan setiap ahli keluarga kita. Malahan, kita akan menjaga dan mempertahankan setiap daripada ahli keluarga kita dari sesuatu perkara yang tidak baik. Sifat kebersamaaan, saling memaafkan dan tidak memperbesarkan perkara yang kecil dan remeh menjadikan ikatan keluarga besar Malaysia ini lebih erat dan kukuh, sesuai dengan slogan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, cubalah sedaya upaya untuk mengelak daripada menyentuh isu-isu yang sentitif bagi sesuatu kaum mahupun bagi sesuatu agama. Elakkan provokasi yang boleh membawa kepada perpecahan yang lebih besar. Menghormati hak masing-masing di samping menjaga dan mendaulatkan Perlembagaan Malaysia adalah suatu perkara yang perlu ada dalam jati diri setiap daripada kita. 183 perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia (secara rasminya disebut sebagai Perlembagaan Persekutuan Malaysia) haruslah dihormati dan diterima oleh setiap daripada kita rakyat Malaysia. Hidup di bawah satu rukun yang sama, akan menjadikan rasa kebersamaan yang lebih erat. Fahami dan hayatilah prinsip-prinsip yang ada dalam Rukun Negara.

Jiwa kecil anak-anak kita perlu dipupuk agar mencintai negara dan setia kepada tanah air. Walaupun kita berada di luar negara sekalipun, semaikan dalam diri anak-anak kita “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.” Walau di mana kita berada, jati diri kita sebagai rakyat Malaysia perlu ditanamkan dalam diri anak-anak kita. Taat setia perlu dicurahkan kepada negara Malaysia yang merupakan tanah air kita sendiri, walaupun rezeki kita berada jauh di luar negara.

Jasa dan pengorbanan nenek moyang kita dalam mempertahankan negara perlu sentiasa diingati. Sejarah dan perjuangan pemimpin terdahulu jangan sesekali kita lupakan. Usaha-usaha mereka dalam mewariskan keamanan negara kepada kita, perlu selalu didendangkan ke telinga anak-anak agar mereka tahu betapa besarnya pengorbanan pemimpin terdahulu dalam mewariskan negara yang aman dan damai kepada mereka.

Usaha kita dalam menjaga keamanan dan keharmonian negara menunjukkan betapa kita menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu. Kita perlu sedar bukan mudah bagi mereka mempertahankan negara ini untuk kita. Perjuangan mereka demi masa depan kita hari ini bukan sahaja melalui perbincangan dan rundingan, malahan turut diiringi dengan linangan air mata serta keringat yang membasahi bumi. Lebih menyedihkan perjuangan mereka turut melibatkan pertumpahan darah dan jiwa-jiwa yang gugur menyembah bumi.

Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan usaha-usaha mereka ini tidak sia-sia. Kita perlu memastikan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian yang kita warisi hari ini akan terus berkekalan selamanya. Kepelbagaian yang kita ada adalah suatu kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia. Demi negara yang kita cintai, elakkan sebarang pertelingkahan dan jauhi perkara yang boleh mengundang persengketaan. Malaysia yang harmoni adalah kelebihan kita di mata dunia, dan inilah yang akan kita warisi kepada generasi seterusnya. Sayangi Malaysia..

 

 

 

Siti Hajar Bidin

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe