Kepentingan mendalami dan menangani isu PTV

Foto sekadar hiasan.

Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV) adalah laluan khusus untuk membangunkan lepasan sekolah menengah ke dalam tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan membentuk masa depan yang baik. Tanggapan untuk mengganggap PTV hanya untuk golongan yang kurang cemerlang dalam akademik atau yang mempunyai prospek kerjaya rendah perlu dibuang dari fikiran. Hakikatnya, graduan PTV mempunyai peluang pekerjaan yang tinggi dan mampu memberi pendapatan yang lumayan.

Justeru itu, melalui beberapa tinjauan senario terkini didapati bahawa bidang PTV telah menarik perhatian ramai penyelidik terutama kepada pemegang dasar pendidikan seperti contoh dalam belanjawan 2020, didapati sebanyak RM5.9 bilion telah diperuntukkan ke dalam sektor PTV untuk menunjukkan kepentingannya dalam menghasilkan modal insan negara.

Berdasarkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), terdapat sasaran untuk meningkatkan pekerja mahir dari 28 peratus hingga 35 peratus, dan 60 peratus pekerjaan masa hadapan dijangka memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional. Dengan pilihan pelbagai orientasi disiplin pendidikan iaitu daripada kejuruteraan marin, perkhidmatan hospitaliti dan kecantikan fesyen, pelajar dapat memperoleh Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui penilaian dan latihan. Sistem ini bermula dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 1 hingga 3), diikuti Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Advanced Diploma in Skills Malaysia (DLKM).

Kepentingan Pendidikan PTV

Secara umumnya, kepentingan mendalami dan menangani isu dalam bidang PTV ialah apabila mendapati kebanyakan negara termasuk Malaysia melaksanakan PTV dalam tiga cara dan pada tahap yang berbeza. Pertama PTV dilaksanakan berasaskan sekolah iaitu sama ada di sekolah menengah kebangsaan (SMK) mahupun di sekolah menengah teknik dan vokasional. Pendidikan Asas Vokasional (PAV) diperkenalkan di peringkat menengah rendah di SMK akademik harian dengan subjek vokasional ditawarkan sebagai subjek elektif dan pelajar mengambil mata pelajaran ini bersama mata pelajaran teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikut kepentingan dan minat mereka.

Dalam sistem sekolah ini, sejak tahun 2002 beberapa mata pelajaran vokasional (MPV) ditawarkan terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kecenderungan ke arah bidang akademik. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa mata pelajaran vokasional ditawarkan kepada pelajar yang mempunyai akademik yang baik yang mana mereka mengambil subjek MPV itu sebagai subjek pilihan. Kemudian dilanjutkan ke peringkat menengah atas di sekolah menengah dengan PTV difokuskan melalui persijilan kemahiran dan vokasional yang kini digelar Kolej Vokasional selama empat tahun pengajian.

Cara kedua adalah pada tahap institusi PTV yang bukan berasaskan sekolah. Lazimnya dikendalikan oleh kementerian dan agensi seperti MARA, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi dan agensi negeri, terutamanya untuk pelajar lepasan SPM atau sijil vokasional. Latihan ini boleh berubah-ubah tempoh pengajian, dari kursus modular hingga kursus pendek atau bahkan bertahan satu hingga tiga tahun iaitu peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Pada akhir latihan akan ada pemberian sijil oleh institusi masing-masing.

Cara ketiga pula adalah kursus yang ditawarkan di dalam pusat-pusat latihan berbentuk komersial dan industri atau skim praktikal di tempat kerja. Ini adalah kursus khusus yang ditawarkan oleh pakar yang diiktiraf. Tujuan utama adalah untuk melengkapkan atau mengemaskini pengetahuan, latihan atau kemahiran yang diperlukan oleh tenaga kerja untuk mengendalikan peralatan baharu atau mengurus projek-projek baharu di dalam industri.

Perubahan Dasar Pendidikan PTV

Berdasarkan beberapa kajian PTV sebelum ini, terdapat persetujuan bahawa kepentingan pendidikan ini telah membawa kepada beberapa perubahan dasar pendidikan PTV di Malaysia. Sebagai contoh, salah satu sistem aspirasi iaitu akses kepada pendidikan berkualiti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah antara hasil daripada kajian transformasi PTV yang telah bermula pada tahun 2012. Transformasi PTV ialah satu usaha memperkasakan sistem pendidikan vokasional yang menyumbang kepada agenda transformasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi selari dengan visi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Contoh lain, terdapat perubahan dalam skop Kerangka Kelayakan Malaysia dalam Edisi-Ke 2 (MQF 2.0) iaitu tambahan kerangka Sektor PTV yang mana pendekatannya untuk hasil pembelajaran terutamanya pada Sijil (Aras 1) sehingga Diploma Lanjutan (Aras 5). Penambahan Sektor PTV ini terhasil melalui Pelan Pembangunan Malaysia ke-11 (2014-2020) untuk tenaga kerja PTV yang berkualiti tinggi dengan kelayakan yang akan dipacu oleh keperluan industri.

Keperluan pekerjaan industri dalam PTV adalah seperti dalam sektor pembinaan, teknologi, sektor pembuatan, hospitaliti dan pelancongan, industri kreatif dan agrikultur. Langkah kehadapan iaitu dengan wujudnya Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET (JKKPTVET) pada akhir tahun 2019  menunjukkan begitu pentingnya PTV yang mana matlamat utamanya adalah melahirkan modal insan kelas pertama yang mempunyai ilmu kemahiran teknikal untuk pembangunan ekonomi negara menjelang 2030. Ini juga membuka banyak peluang penyelidikan PTV hasil dari enam bidang teras yang digariskan dalam rangka kerja tersebut iaitu Graduan Berkualiti TVET, Tadbir Urus Responsif dan Mampan, Pemacu Teknologi, Sistem Pendidikan TVET, Kerjasama Industri dan Masyarakat serta Penyelidikan dan Inovasi.

Akhir sekali, selain pelbagai kepentingan penyelidikan PTV dijalankan, terdapat banyak manfaat jangka pendek mahupun jangka panjang jika latihan PTV diberi kepada pelajar dan masyarakat. Manfaat jangka pendek antaranya adalah mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, tahap pendapatan tinggi dan peningkatan kepuasan kerja. Manakala, manfaat jangka panjang antaranya fleksibiliti dan mobiliti yang lebih baik di samping meningkatkan ilmu kemahiran melalui pembelajaran sepanjang hayat.

Berita ini juga diterbitkan di :

Pentingkah Penyelidikan Pendidikan Teknikal Dan Vokasional?

1. bernama.com, 5 Oktober 2022 : https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2126258 

 

 

Anim Zalina Azizan

Penyelidik Focus Group TechnoBiz

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2022Rencana
Subscribe