Teknologi dron dan cabaran masa hadapan

Dron Kargo (C-Drone) yang dibina oleh UTHM dengan multirotor jenis terbang serta mendarat secara menegak berupaya membawa beban seberat 200 kilogram.

Kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau lebih dikenali sebagai dron merupakan teknologi yang sedang pesat membangun pada hari ini kerana berupaya melakukan pengawasan di tempat-tempat yang berisiko dan melakukan tugasan yang tidak membahayakan manusia.

Jika dahulu, dron banyak digunakan dalam peperangan dengan peranannya sebagai umpan dalam pertempuran, melancarkan peluru berpandu, menghapuskan peledak dan menjatuhkan risalah untuk operasi psikologi.

Pada hari ini, penggunaan dron semakin meluas kerana kelebihannya yang mampu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan pantas serta keupayaannya untuk terbang dan merekodkan pemandangan muka bumi dari atas.

Di negara-negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat, dron telah mula digunakan untuk menghantar barangan dengan keupayaan terbang sejauh kira-kira 10 kilometer dalam tempoh enam minit dengan kemampuan membawa beban sehingga 1.1 kilogram.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula, dron digunakan bagi menghasilkan hujan buatan dengan menyasarkan laser pada awan tertentu untuk menyahcas elektrik bagi memaksa titisan air berkumpul di udara seterusnya mencetuskan hujan.

Dron juga telah banyak digunakan dalam industri termasuklah pertanian, perfileman, kajian cuaca mahupun pengurusan sisa pepejal.

Dron tempatan juga tidak ketinggalan yang mana pada tahun 2021, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records dengan ciptaan dron gergasi pertama di Malaysia yang diberi nama C-Drone.

C-Drone yang dibina oleh UTHM dengan multirotor jenis terbang serta mendarat secara menegak (VTOL), berupaya membawa beban seberat 200 kilogram.

 

Isu dan Cabaran

Dron mula rancak digunakan di Malaysia pada tahun 2014 ketika negara dikejutkan dengan misteri kehilangan MH370.

Banyak pihak yang tampil menawarkan pemeriksaan menggunakan dron khususnya dron bawah air (Unmanned Underwater Vehicle) termasuk syarikat dari luar negara dengan kos percuma.

Walau bagaimanapun tawaran dari syarikat luar boleh mengundang risiko keselamatan negara kerana bukan sahaja puing-puing pesawat yang dicari malah data-data mengenai struktur geografi negara juga akan turut terdedah.

Dron bukan sahaja beraksi sebagai sebuah pesawat tanpa pemandu, tetapi sebagai sebuah wahana mengumpulkan data.

Hal ini memerlukan negara membangunkan kepakaran teknologi dron sendiri bagi keperluan masa hadapan dan tidak sekadar sebagai pengguna.

Teknologi yang akan dibangunkan haruslah bersifat menyeluruh merangkumi analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang.

Dari aspek pembangunan teknologi, kebanyakan negara-negara maju telah memupuk minat dan pendidikan berkaitan terhadap pelajar-pelajar sekolah.

Sebagai contoh di Rusia, pelajar-pelajar sekolah telah didedahkan dengan pertandingan dron manakala di Amerika Syarikat, pelajar-pelajar sekolah didedahkan dengan kemahiran pengaturcaraan.

Turki yang disebut sebagai kuasa baru dron dunia juga telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membangunkan bakat dan kepakaran tempatan dalam kalangan generasi baru antaranya pertandingan pembangunan dron dan roket dalam program Teknofest yang dianjurkan hampir setiap tahun.

Malaysia juga tidak ketinggalan, beberapa inisitiaf awal anjuran DroneTech Initiative di bawah kendalian Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah membuahkan hasil.

Pameran-pameran melibatkan dron telah banyak dianjurkan, bahkan isu-isu berkisar pembangunan bakat dan operasi dron telah mula diwacanakan dengan meluas.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) juga akan mewujudkan sehingga 100,000 peluang pekerjaan dalam industri dron.

MOSTI menjangkakan industri dron akan mencecah RM50 bilion dalam KDNK menjelang 2030.

Bagi membangunkan bakat dan kemahiran tempatan seiring dengan masa depan yang kompetitif, pelan tindakan menyeluruh pembangunan ekosistem pembangunan bakat teknologi dron perlu diwujudkan.

Perkara ini perlu dibincang dan diperhalusi, bahkan hal yang lebih utama adalah pembentukan hala tuju negara yang jelas dan bersepadu yang mampu merubah cara kerja negara daripada negara pengguna teknologi kepada penguasaan asas (fundamental) teknologi yang mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembangun teknologi.

Civil Aviation Authority of Malaysia, CAAM juga telah mengeluarkan Civil Aviation Directive (CAD 6011) yang merupakan arahan dalam pengoperasian dan latihan dron.

Dari aspek keselamatan ruang udara, pembangunan sistem dalam aplikasi iaitu Unmanned Traffic Management (UTM) dilihat akan banyak memudahkan pengendalian dron khususnya untuk operasi Extended Visual Line of Sight (EVLOS) dan Beyond Visual Line of Sight (BVLOS).

Dengan adanya sistem seperti ini, pengendali drone boleh meminta kebenaran daripada pihak berkuasa untuk terbang di ruang udara terkawal termasuk ruang udara berhampiran bandar utama untuk jangka masa tertentu.

Namun cabaran utama adalah membesarkan kapasiti pengaplikasian sistem dan perlaksanaan arahan ini supaya ia lancar dan berkesan.

Bagi dron bersaiz besar dengan kapasiti muatan yang lebih berat iaitu melebihi 20kg, selain daripada cabaran utama berkaitan pengoperasian iaitu perkongsian ruang udara dengan pesawat dan frekuensi komunikasi, cabaran teknikal yang wujud adalah bagaimana hendak menstabilkan dron ketika penerbangan.

Lebih besar dron, lebih banyak tenaga dan bahan yang diperlukan seterusnya meningkatkan kos kerana rangka yang lebih besar, kapasiti bateri yang lebih besar dan motor yang lebih besar diperlukan.

Bagi penerbangan dron untuk tempoh yang lama, pengurusan tenaga yang diguna pakai adalah amat mustahak kerana dron yang digunakan pada hari ini hampir kesemuanya menggunakan bateri.

Pembekalan tenaga kepada dron telah banyak dibincangkan termasuklah penukaran bateri di stesen tertentu, pengecasan secara pancaran laser dalam penerbangan, penambatan dron dengan bekalan kuasa terus, kecekapan prestasi bateri, memanfaatkan tenaga solar dan penggunaan kapasitor super (supercapacitor).

Cadangan-cadangan yang dikemukakan memerlukan komitmen yang berterusan daripada semua pihak bagi meletakkan negara seiring dengan negara maju pada masa hadapan.

 

Berita ini turut diterbitkan di :

1. malaysiagazette.com, 8 Ogos 2022 : https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2108574

 

 

Dr. Muhammad Rusydi Muhammad Razif

Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Muslim Abdullah Zaik

Ketua Pegawai Eksekutif

Technerve Technology Solutions Sdn. Bhd. (Aeronerve)

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2022Rencana
Subscribe