Sinar Harian, 4 Ogos 2022 : Kenyataan daripada Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi (FAST), UTHM

SHAH ALAM – Isu krisis antara hidupan liar dan manusia yang meruncing sejak kebelakangan tahun ini memerlukan pihak kerajaan lebih serius dalam memperkasakan zon penampan bagi meneutralisasikan keadaan antara habitat berkenaan.

Zon penampan merupakan satu kawasan peralihan bagi habitat hidupan liar yang terdiri daripada hutan simpan kekal dan rizab hidupan liar serta kawasan aktiviti manusia bagi mengelakkan pertembungan yang bakal menimbulkan masalah.

Penyelidik Utama Kumpulan Integrasi Oasis Institut Ke juruteraan Integrasi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar berkata, antara perkara yang kurang diberi perhatian di dalam negara ini adalah berkenaan zon penampan bagi hidupan liar.

“Satu perkara yang saya kira kurang diberi perhatian berkenaan hidupan liar ini adalah pemerkasaan zon penampan di sekeliling habitat hidupan liar. Seharusnya terdapat kawasan yang mengelilingi habitat berkenaan dan berfungsi sebagai zon peralihan antara habitat hidupan liar dan kawasan aktiviti manusia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, secara dokumentasinya memang terdapat kawasan yang digazetkan sebagai zon penampan, bagaimanapun mempersoalkan sama ada ia benar-benar diberi perhatian.

Soal beliau, jika ia benar-benar dilakukan, mengapa konflik hidupan liar melibatkan haiwan seperti gajah dan harimau terus berlaku.

“Jika kelakuan haiwan, saiz habitat serta kefungsian zon penampan diambil kira, kita dapat mengurangkan konflik ini di masa hadapan,” ujarnya.