Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Suhairi Ismail, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh

PAGOH – Bersempena dengan sambutan Hari Penderma Darah 2022, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi pengiktirafan selaku penganjur kempen derma darah dengan kutipan paling tinggi.

Pengiktirafan ini telah disampaikan di dalam Majlis Apresiasi Kepada Penderma Darah dan Penganjur Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2022 yang berlangsung di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSF).

Majlis yang diadakan ini bagi meraikan dan menzahirkan penghargaan kepada para penderma dan penganjur kempen derma darah yang mana mereka ini digelarkan sebagai #muarbloodwarriors.

Timbalan Pengetua 1, Dr. Mohd Faisal Hushim berkata berpegang kepada semangat ‘Satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa’, KKKP telah berkerjasama dengan Unit Perubatan Transfusi HPSF bagi menganjurkan program derma darah bertempat di kawasan kolej kediaman.

“Bagi tahun 2022 sahaja, sebanyak lapan kali program derma darah ini telah dijalankan dan hampir 50 beg darah berjaya dikumpul setiap kali ianya dilaksanakan.

“Di samping pengumpulan beg darah, jumlah penderma baharu juga bertambah dengan peningkatan sebanyak 50 peratus di HPSF pada tahun ini,” katanya.

Bagi menjamin stok bekalan darah, KKKP komited untuk terus berkerjasama bagi menjalankan program derma darah ini secara berkala.

Pihak KKKP juga menyasarkan sebanyak 50 peratus penderma dalam kalangan penghuni kolej akan menjadi penderma darah tetap atau berulang.  

“Pengiktirafan yang diberikan ini menaikkan lagi semangat KKKP untuk terus menjadi tunjang utama bagi memastikan kestabilan stok darah dalam keadaan yang baik,” katanya.

 

‘Derma Darah, Kukuhkan Perpaduan’
‘Satu Beg Darah Mampu Selamatkan Tiga Nyawa’
‘Darah Tanpa Sempadan’

 

 

Bergambar kenangan ketika berlangsungnya Majlis Apresiasi Kepada Penderma Darah dan Penganjur Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2022 yang berlangsung di HPSF.

 

Berita ini juga diterbitkan di :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 24 Ogos 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/kolej-kediaman-kampus-pagoh-uthm-diiktiraf-penganjur-kempen-derma-darah-kutipan-tertinggi/

2. Malaysia msn.com, 24 Ogos 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/kolej-kediaman-kampus-pagoh-uthm-diiktiraf-penganjur-kempen-derma-darah-kutipan-tertinggi/ar-AA111QBE

3. newswav.com, 24 Ogos 2022 : https://newswav.com/article/A2208_gZbNeb